Operasi Patuh Bersepadu (SAPU), 32 PATI Ditahan

KOTA KINABALU: 32 orang termasuk 7 kanak-kanak yang disyaki masuk dan tinggal di negara ini tanpa pasport atau dokumen yang sah, ditahan dalam Operasi Patuh

Bersepadu (SAPU) yang dilancarkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Sabah serta Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu di dua penempatan setinggan di Tanjung Dumpil dan Pulau Meruntum, Putatan, Rabu lalu.

Operasi SAPU membabitkan 54 pegawai imigresen diketuai Timbalan Penolong Pengarah Kanan, Hasanal Awang Hashim dari Bahagian Penguatkuasa, JIM Kota Kinabalu serta 19 pegawai dan anggota PPM Kota Kinabalu diketuai Asisten Superintendan Roslan Awang.

Pengarah JIM Sabah, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata operasi ini dilancarkan hasil aduan orang awam yang diterima oleh Bahagian Penguatkuasa Pejabat Imigresen Kota Kinabalu.

Katanya, dalam operasi bermula 10.55 malam sehingga 2.55 pagi ini, 124 orang diperiksa dan daripada jumlah itu, 32 orang berusia antara 7 bulan hingga 57 tahun, ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan mengikut seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 kerana masuk dan tinggal di Malaysia tanpa pasport atau pas yang sah.

“Objektif utama operasi ini adalah untuk membanteras kehadiran dan penempatan haram pendatang asing tanpa izin (PATI) dan mana-mana orang yang melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 [pindaan 2002] (Akta 155), Peraturan-peraturan Imigresen 1963 [pindaan 2011], Akta Pasport 1966 (Akta 150), Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 [pindaan 2015] (Akta 670) dan akta yang berkaitan;” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya Jabatan Imigresen tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang bersekongkol dengan PATI.

“Saya menyeru supaya tidak ada mana-mana pihak yang cuba melindungi PATI di Sabah. Sehubungan itu, saya memohon kerjasama rakyat Sabah agar melaporkan dengan segera sekiranya terdapat aktiviti PATI di kawasan mereka. Saya memberi amaran keras kepada pemilik-pemilik premis agar tidak menyewakan atau membenarkan PATI untuk tinggal di premis mereka.”

Tambahnya, proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 terhadap setiap tahanan, turut dilakukan bagi memastikan tiada penularan jangkitan COVID-19 sebelum tahanan dihantar ke depot imigresen.