Operasi Mencari Warga Emas Hilang Di Kebun Masuk Hari Keempat

SIPITANG: Operasi mencari seorang lelaki warga emas berusia 81 tahun yang hilang ketika pergi ke kebun buah-buahan miliknya di Kampung Ulu, di sini, sejak Sabtu lalu, masuk hari keempat, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang, Celvin Joe Jeofery berkata, operasi mencari hari ini bermula dari Pos Kawalan Bomba hingga ke kawasan ladang kelapa sawit dengan radius pencarian seluas 2 kilometer.

Menurutnya, setakat ini mangsa masih belum ditemui dan operasi pencarian diteruskan.

“Sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Operasi mencari dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), penduduk kampung, unit anjing pengesan dan unit dron.

Dalam kejadian itu, lelaki warga emas dikenali Asmad Bulat, 81, dikhuatiri hilang selepas tidak kembali ke rumahnya selepas keluar seorang diri untuk ke kebun getah dan buah-buahan miliknya pada kira-kira jam 6.30 pagi Jumaat lalu.

Susulan itu, keluarga mangsa bersama penduduk kampung melakukan pencarian di kawasan berhampiran namun gagal menemui mangsa sebelum membuat
laporan kepada pihak berkuasa.

Bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 9.03 pagi, Sabtu lalu.