Operasi Kompleks Membeli Belah, Pasaraya, Kedai Makan Dilanjutkan

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri melanjutkan waktu operasi kompleks membeli belah, pasar raya, kedai serbaneka dan kedai runcit sehingga 10 malam bermula esok.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, bagi kompleks membeli belah pula ia masih tertakluk kepada sub-sektor yang sudah dibenarkan beroperasi sahaja.

Namun, operasi stesen minyak termasuk kedai serbaneka di stesen minyak dibenarkan beroperasi dari 5 pagi hingga 12 tengah malam.

Sementara itu, operasi restoran di hotel, rumah kelab sukan dan rekreasi, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji (food truck), penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan atau kiosk dibenarkan dari 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Dalam pada itu, beliau berkata, pengecualian bagi individu atau pekerja yang belum lengkap vaksin Astrazeneca memasuki premis perniagaan turut diberikan.

“Individu yang menerima dos pertama vaksin AstraZeneca boleh membuat permohonan pengecualian syarat lengkap vaksinasi bagi memasuki premis (untuk bekerja dan sebagainya).

“Majikan boleh memohon pengecualian sementara kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan menyenaraikan nama kakitangan mereka yang terlibat, tarikh pengambilan dos pertama dan jadual tarikh pengambilan dos kedua,” katanya.

Masidi turut mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan mengamalkan penjarakan sosial ketika dalam pandemik Covid-19.

Dalam pada itu, individu yang bergejala, berisiko atau merupakan kontak rapat perlu menjalani saringan kendiri Covd-19 terutama bagi individu yang mempunyai ahli keluarga yang berisiko seperti warga emas, penyakit kronik dan komorbiditi serta kanak-kanak di bawah 12 tahun yang belum layak vaksin.

Langkah-langkah ini amat perlu bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.