Op terakhir UMK hantar 202 pelajar pulang ke Sabah selesai

KOTA BHARU: Seramai 202 pelajar universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi (IPT) di Kelantan yang berasal dari Sabah telah dihantar pulang malam tadi.

Ia antaranya membabitkan 144 pelajar Universiti Malaysia Kelantan (UMK), selain 18 pelajar Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaya (lapan), Universiti Teknologi Mara (empat) serta masing-masing seorang bagi Universiti Malaysia Pahang, Politeknik Kota Bharu dan Politeknik Jeli, dan juga pelajar Kolej Teknologi Darul Naim (empat), Lincoln University College (empat) dan Kolej KUB (seorang).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK Prof Dr Zaliman Sauli berkata 11 bas disediakan oleh UMK untuk pergerakan pulang pelajar menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum menaiki penerbangan ke Kota Kinabalu.

”Operasi penghantaran berkenaan melibatkan kumpulan terakhir penuntut UMK dari Sabah agar mereka dapat pulang ke kampung halaman masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Pesta Kaamaatan,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Zaliman berkata penghantaran balik pelajar pada malam tadi berjalan lancar dan telah mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ketat berikutan laporan akhbar sebelum ini yang melaporkan beberapa kes positif COVID-19 melibatkan kluster IPT.

“Sesi pemeriksaan kesihatan (swab test) telah diadakan pada 19 Mei sebagai langkah persediaan sebelum proses penghantaran pulang baki para pelajar yang menginap di kolej kediaman ke kampung halaman masing-masing.

“Alhamdulillah, keputusan yang kita terima daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan kesemua 220 pelajar adalah negatif daripada COVID-19 dan selamat untuk pulang,” katanya.

UMK telah menguruskan tujuh misi penghantaran pulang pelajar.