Op Gegar Pusat Hiburan, 11 PATI Ditahan

KOTA KINABALU: Seramai 11 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Gegar di premis hiburan kelab malam di Anjung Samudera, The Waterfront pada Rabu.

Dalam operasi kira-kira 11.30 malam, kesemua PATI berusia 22 hingga 36 tahun itu ditahan di dua kelab malam berasingan sekitar pusat bandaraya ini.

Pengarah Imigresen Negeri, Sharifah Sitti Saleha Habib Yussof berkata, PATI yang ditahan terdiri daripada seorang warga Indonesia dan 10 warga Filipina yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Semasa serbuan dilakukan, ada yang berhibur sebagai pelanggan dan selainnya turut disyaki sebagai pekerja di premis tersebut.

Beliau berkata, operasi itu diketuai oleh Timbalan Penolong Pengarah Kanan (TPPK) M. Azmi bin Ab. Murad bersama 41 orang pegawai Imigresen.

Kesemua PATI yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Imigresen 1963 serta Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, operasi-operasi di premis hiburan seperti ini akan dipergiat dan diteruskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah untuk membanteras PATI khususnya yang disyaki terlibat dalam aktiviti-aktiviti tidak bermoral.

JIM Sabah akan terus komited dalam usaha untuk membanteras dan mencegah kehadiran PATI di Sabah dan memberi amaran kepada orang awam khusunya majikan agar mematuhi undang-undang dan peraturan-peraturan Imigresen yang berkuatkuasa.

“Saya mengingatkan pihak-pihak yang telibat agar tidak memperlekeh dan melanggar undang-undang Imigresen kerana JIM tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas termasuklah hukuman berat tanpa kompromi kepada mereka.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya memberikan kerjasama dan melaporkan kepada pihak berkuasa khususnya jabatan ini jika mendapati adanya kehadiran PATI dan aktiviti seumpama ini,” katanya.