Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata keputusan menamatkan pencarian dibuat setelah mengambil kira tiada sebarang penemuan atau petunjuk baharu ditemui pasukan di lapangan.
“Bagaimanapun, pencarian dan pemantauan akan diteruskan agensi bertugas menerusi operasi harian mengawal pesisir pantai, laut dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Keseluruhan sektor pencarian merangkumi keluasan 184 batu nautika dengan lima aset telah diaturgerak sepanjang lima hari operasi CARILAMAT.
Dalam kejadian pagi Isnin lalu, mangsa, Mohd. Sahrijan Sani, 39, dilaporkan hilang semasa sedang melakukan aktiviti memukat.
Dalam konteks ini, komuniti maritim digesa untuk terus mengutamakan aspek keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut.
Sebarang kes kecemasan di laut boleh dilaporkan menerusi talian kecemasan 999 (MERS) atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-453777.