Op Benteng Perlu Dikekalkan – Pesuruhjaya Polis

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PUTATAN: Pelaksanaan Op Benteng di Pantai Timur Sabah perlu terus dikekalkan bagi mengekang kemasukan warga asing di sempadan negeri ini.

Walaupun Covid-19 sudah tiada, pelaksanaan Op Benteng ini masih perlu dikekalkan bagi mengelakkan rakyat negara jiran menyeludup masuk ke Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, tarikan ekonomi yang ada di Malaysia akan mendorong rakyat negara jiran untuk cuba memasuki Sabah secara haram melalui lorong-lorong tikus.

Beliau berkata, cubaan masuk ke Sabah sentiasa berlaku malah, semalam Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan sebuah bot di kawasan perairan Semporna yang cuba menyeludup bekalan minyak.

Katanya, difahamkan National Task Force (NTF) yang dipengerusikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menyediakan tambahan kenderaan pacuan empat roda untuk pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dan PGA. Kenderaan tersebut digunakan untuk kawalan di sepanjang sempadan Sabah.

Beliau berkata demikian selepas melakukan tinjauan di Sekatan Jalan Raya (SJR) Lokkawi, hari ini.

Menyentuh mengenai bantuan daripada badan bukan kerajaan (NGO), Hazani berkata, semua NGO disaran untuk berhubung dengan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah bagi menyampaikan bantuan.

Katanya, NGO tidak dibenarkan masuk dari rumah ke rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini bagi mengurangkan pergerakan dan menghindari risiko jangkitan Covid-19.