Olahragawan Sabah, Rayzam Tekad Pertahan Emas Sukan Sea

Rayzam, dua kanan, menerima anugerah Olahragawan Sabah yang disampaikan oleh Tun Juhar Mahiruddin di sini, Selasa malam.

KOTA KINABALU: Olahragawan Sabah 2017/2018 Rayzam Shah Wan Sofian akan menjadikan anugerah yang diterimanya di Majlis Anugerah Sukan Negeri Sabah malam tadi, sebagai pendorong kepadanya dalam mempertahankan pingat emas, pada Sukan Sea Filipina 2019 bulan hadapan.

Katanya anugerah yang diterima buat kali kedua selepas kali pertamanya pada 2007 itu, adalah berdasarkan kepada pencapaian terbaik beliau pada tahun 2017, terutamanya ketika memecahkan rekod kebangsaan berusia 23 tahun dalam acara 110 meter berpagar, di Kejohanan Kurpfalz Gala di Jerman.

Atlet kelahiran Keningau itu berkata beliau tidak menyangka menerima anugerah itu, disebabkan atlet Sabah lain dalam senarai akhir untuk anugerah itu juga, melakukan pencapaian cemerlang.

Menurutnya tumpuan kini adalah menghadapi Sukan Sea di Filipina untuk mempertahankan pingat emas yang dimenanginya, pada Kuala Lumpur 2017.

“Saya berada dalam tahap terbaik untuk mempertahankan pingat emas itu,” katanya ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Sukan Negeri Sabah yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di sini, Selasa malam.

Menurutnya sebagai persiapan akhir, beliau akan ke Manila, Filipina esok untuk latihan prapersiapan.

Sementara itu atlet memanah kebangsaan Fatin Nurfatehah Mat Salleh yang dinobatkan sebagai Olahragawati Sabah di anugerah yang sama, buat kali ketiga berturut-turut selepas memenanginya pada 2013/2014 dan 2015/2016, berkata prestasinya pada tahun 2017 menjadi asas kepada penerimaan anugerah tersebut.

“Prestasi cemerlang saya pada 2017 menjadi merit bonus untuk saya mendapat anugerah ini,” katanya yang memenangi dua pingat emas dan satu perak pada Sukan Sea 2017 di Kuala Lumpur.

Justeru, atlet kelahiran daerah ini yang baru menerima Sarjana Sains Sukan dari Universiti Sains Malaysia Pulau Pinang itu, menyasarkan untuk menambah pungutan pingat emasnya di Sukan Sea pada bulan depan.

Katanya pencapaian terbaiknya, memenangi tiga pingat emas di Sukan Sea Singapura pada 2015.