OKU Lembam Berjaya Genggam Segulung Ijazah

KOTA KINABALU: Walaupun dilahirkan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU) Lembam (slow ,learner), ia tidak menghalang Habib Akmal Rifaie Habib Abduraman, 28, untuk menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Penerima Ijazah Sarjana Muda Sains dengan Kepujian (Teknologi Multimedia) Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) UMS itu mengalami masalah pembelajaran sejak daripada zaman kanak-kanak lagi.

“Ketika berada di UMS, kekurangan ini menjadi satu cabaran besar kerana sukar dan perlu mengambil masa yang lama untuk memahami apa yang diajarkan oleh pensyarah.

“Saya juga mempunyai sedikit kesukaran dalam berkomunikasi dengan orang ramai termasuk dengan pelajar-pelajar dalam kampus,” katanya.

Namun, berbekalkan tekad dan iltizam, beliau mengulang kaji dan mempelajari semua subjek yang diajar dengan penuh tekun sehingga benar-benar faham dan menguasainya.

“Dorongan dan motivasi daripada kedua ibu bapa merupakan pembakar semangat untuk tidak berundur dan terus menggandakan usaha mengatasi kekurangan diri sehinggalah berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2021.

“Justeru pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan membimbing saya khususnya kepada kedua ibu bapa tercinta.

“Tidak lupa kepada para pensyarah, warga UMS yang prihatin serta semua rakan-rakan yang sentiasa berada pada ketika susah dan senang,” ujar Habib Akmal yang berasal daripada Putatan.