OKU DIHUKUM PENJARA, DENDA RASUAH POLIS

LABUAN: Seorang lelaki kurang upaya (OKU) dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Khas Rasuah di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi rasuah kepada anggota polis tahun lepas.

Rena Bani, 39, yang memakai kaki palsu, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Abu Bakar Manat, yang turut mengarahkan hukuman penjara ke atas tertuduh ditambah sebulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu.

Tertuduh yang baru bebas dari penjara pada Jun lepas atas kesalahan dadah, didakwa melakukan kesalahan itu berdekatan Terminal Feri Antarabangsa Labuan pada 3.35 petang 13 Nov 2019 dengan menawarkan dan memberi rasuah kepada dua anggota polis antinarkotik sebagai dorongan untuk melepaskannya atas kesalahan mengambil syabu.

Dia didakwa atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan.

Kes itu dikendalikan pegawai pendakwa daripada SPRM Sabah, Clementine Severinus.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang bekas penjawat awam mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan beberapa dokumen palsu untuk mendapatkan tender kerajaan bagi membekalkan makanan dan minuman latihan penilaian pertumbuhan dan kaunseling pemakanan bayi dan kanak-kanak di Makmal ICT Jabatan Kesihatan Labuan pada 3 dan 5 Mei 2017.

Hakim Abu Bakar menjatuhkan hukuman penjara sebulan dan denda RM2,000 atau penjara sebulan sekiranya gagal membayar denda, ke atas Nur Azuana Slamat, 32.

Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada RM10,000 atau lima kali ganda nilai rasuah.

Kes dikendalikan pegawai pendakwa SPRM Labuan Schwartz Nasution.