OCPD Semporna Bagi Amaran Keras Patuhi Perintah

Tiga individu yang dipenjara 7 hari dan denda RM600 selepas didapati bersalah ingkar MCO di Semporna.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Ketua Polis Daerah Semporna Superitendan Sabarudin Rahmat memberi amaran tegas kepada penduduk di daerah itu untuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (MCO) yang kini memasuki hari ke 16 pelaksanaannya.

Beliau berharap orang ramai duduk di rumah, jika tidak mempunyai urusan penting di luar bagi mengelak dikenakan tindakan perundangan.

“Semalam, tiga lelaki dari daerah ini dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau atas kesalahan ingkar MCO.

“Mereka dihukum penjara tujuh hari dan denda sebanyak RM600 selepas mengaku bersalah atas kesalahan masing-masing,” katanya.

Selain itu, Sabarudin menjelaskan tertuduh berumur antara 40 hingga 46 tahun itu turut berdepan penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.

“Ia membabitkan tangkapan sepanjang MCO fasa pertama iaitu bermula 18 sehingga 31 Mac lalu.

“Saya berharap agar orang ramai termasuk tertuduh mengambil iktibar daripada tiga kes ini agar tidak memandang ringan arahan MCO yang ada ketika ini,” katanya.