Nyaris Maut Kereta Terbalik Langgar Forklift

OLEH NORA AHMAD
LABUAN: Seorang lelaki nyaris maut apabila kenderaan yang dipandunya terbalik selepas terlanggar jentera pengangkat barang (forklift) dalam kejadian di Jalan Patau-Patau, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, lelaki berusia 33 tahun bagaimanapun tidak mengalami kecederaan namun pemandu forklift mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Toyota Vios dan sebuah jentera pengangkat barang jenis forklift.

“Siasatan mendapati, mangsa dalam perjalanan menuju ke tempat kerja dan sedang melalui lorong kanan jalan namun tiba-tiba forklift yang dipandu seorang lelaki berusia 50 tahun keluar secara melulu dari lorong kiri ke kanan.

“Kedudukan kedua-dua kenderaan yang terlalu hampir menyebabkan mangsa tidak dapat mengelak lalu berlaku perlanggara sehingga menyebabkan kenderaannya terbalik ke arah pembahagi jalan,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya lagi, kedua-dua pemandu selamat dan salah seorang daripada mereka hanya cedera ringan.

“Pemandu Toyota Vios tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu forklift mengalami kencederaan ringan di siku kanan. Kedua-duanya menerima rawatan di Hospital Labuan sebagai pesakit luar,” katanya.

Muhamad Farid berkata, siasatan lanjut juga mendapati kemalangan itu dipercayai berpunca daripada kecuaian pemandu forklift yang keluar secara melulu ke lorong kanan.

“Kes disiasat mengikut peraturan 10 LN 166/59 (gagal mengawal kenderaan semasa memandu dan menyebabkan kemalangan)” katanya.

Terdahulu, Muhamad Farid turut menasihatkan pengguna supaya sentiasa mengamalkan etika pemanduan yang berhemah di atas jalan raya.