Menang Saman Fitnah, Larangan Memasuki Sabah Perlu Ditarik Semula

4931

Oleh RAZEEF RAKIMIN
KENYATAAN: Berikutan keputusan Mahkamah berkaitan kes fitnah gambar naib Presiden KeAdilan, Nurul Izzah Anwar bersama anak Sultan Sulu, Jacel H Kiram. Pemuda Pakatan Harapan Sabah menggesa penarikan semula larangan memasuki negeri Sabah terhadap Nurul Izzah.

Nurul Izzah menang dalam kes saman fitnahnya terhadap anggota Majlis Tertinggi Umno Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berhubung pertemuannya dengan ‘puteri Sulu’ Jacel HKiram.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkan Ismail dan Khalid masing-masing membayar RM600,000 dan RM400,000 kepada Nurul Izzah serta mengarahkan mereka membayar ganti rugi kos berjumlah RM80,000.

RAZEEF RAKIMIN

Pada 26 November 2015, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah meluluskan usul khas melarang Nurul Izzah Anwar daripada memasuki negeri Sabah selepas gambar beliau bersama “Puteri Sulu” Jacel H Kiram disebarkan.

Nurul Izzah sebelum ini telah menjelaskan gambar yang diambil pada 9 November 2015 dalam program yang dianjurkan Council on Philippine Affairs & The Asian Institute for Democracy, pejabat Datuk Bandar Manila dan pejabat Naib Presiden Filipina.

Beliau menyatakan bahawa beliau tidak memanggil mesyuarat atau pertemuan dan tidak pernah berkenalan dengan Jacel Kiram serta menjelaskan beliau merupakan salah seorang daripada 15 tetamu yang dijemput penganjur.

“Semua yang hadir di program tersebut telah bergambar dengan saya sebagai tanda sokongan terhadap laporan Kumpulan Kerja Mengenai Penahanan Tanpa Bicara Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nations Working Group on Arbitrary Detention) yang menggesa agar Anwar Ibrahim dibebaskan serta-merta” dakwa beliau. Isu ini juga dibawa ke JawatanKuasa Khas Parlimen.

Kemenangan ini bukti bahawa Nurul Izzah tidak ada kaitan dengan anak Jamalul Kiram III serta tiada kaitan dengan kes pencerobohan pengganas Sulu di perairan Sabah pada 2013.

Nurul Izzah bukanlah seorang pengkhianat seperti yang didakwa. Beliau seorang patriot yang telah diketahui umum. Beliau juga kerap ke Labuan bertemu dengan pimpinan KeAdilan Sabah untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan perkembangan Negeri di Bawah Bayu ini menunjukkan beliau amat menyayangi negeri Sabah.

Nurul Izzah juga memaklumkan wang saman yang dimenanginya akan disalurkan kepada anggota keluarga yang terkorban dalam insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

• Razeef Rakimin ialah Setiausaha Pemuda HARAPAN Sabah