Nurul Maslan Selamat Dikebumi

Isteri mangsa, Ummi Kalsom memberi penghormatan terakhir kepada Nurul Maslan.

Oleh ARDYHANSAH AMAT
TAWAU: Jenazah Nurul Maslan Sabran, 34, yang ditemui lemas di perairan daerah ini, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Orang Islam Batu 15, di sini, semalam.

Adik mangsa, Ismail Sabran, 33, ketika ditemui berkata, jenazah selamat dikebumikan kira-kira jam 4 petang selepas selesai bedah siasat di Unit Forensik Hospital Tawau.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutamanya yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat arwah sejak Sabtu lalu.

“Ini termasuk Pasukan Polis Marin, Tentera Laut Diraja Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia.

“Selain itu, kami sekeluarga turut menghargai  kerjasama daripada pihak berkuasa Indonesia dan keluarga yang juga turut terbabit dalam pencarian arwah,” katanya kepada media, hari ini.

Amir Hamza (kanan) ketika melawat keluarga mangsa lemas di kediaman mereka di Batu 15.

Terdahulu, Ismail yang juga Penyelia Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Balung menerima kunjungan Timbalan Pengurus Ibu Pejabat Parti Warisan Sabah Amir Hamzah mewakili Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selaku Presiden Parti Warisan.

“Kedatangan saya hari ini adalah untuk memberi sokongan moral kepada ahli parti (Ismail) yang dilanda musibah atas kehilangan ahli keluarga.

“Ia adalah satu daripada cara kami menghargai ahli parti yang banyak menyumbang sejak penubuhan Warisan sehingga sekarang,” katanya.

Amir berharap dengan kunjungan itu dapat mengurangkan beban dan kesedihan anggota parti.

Sebelum ini, Borneo Today melaporkan kehilangan mangsa pada Jumaat lalu ketika dalam perjalanan ke kebun di Sungai Melayu dari Tawau Lama.

Bagaimanapun, bot yang digunakan mangsa ditemui tanpa juragan oleh PPM pada hari sama, jam 5.50 petang.