Notis Larang Pelanggan Berusia 50 Tahun Masuk Servay Hypermarket Diturunkan

Oleh SURAIDAH ROSLAN
PAPAR: Tindakan menghalang kemasukan pelanggan berusia 50 tahun dan ke atas memasuki premis Servey Hypermarket Papar mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Namun, tidak sampai berapa jam notis itu tular semalam, pihak pengurusan Servey bertindak menurunkan semula notis berkenaan.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP)  Sabah Georgie Abas ketika dihubungi, di sini hari ini.

Beliau berkata, sebaik menerima gambar mengenai notis itu, beliau telah mengubungi pengurusan Servey untuk bertanya mengenai perkara itu dan dimaklumkan notis berkenaan telah diturunkan petang semalam.

Katanya, sebarang prosedur yang ditetapkan oleh pasar raya bergantung kepada arahan dan saranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Bagi pihak KPDNHEP, mereka hanya memantau bekalan barangan dengan harga yang betul  bagi mengelakkan berlaku penipuan.

“Secara peribadi, saya rasa tindakan sebegitu tidak sesuai kerana individu berusia 50 tahun masih lagi ada yang bekerja dan ingin membeli barangan keperluan rumah.

“Namun, keadaan itu bergantung kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” ujarnya.

Georgie berkata, berdasarkan pemeriksaan pegawai KPDNHEP, hanya Servey Papar sahaja yang ada meletakkan notis sebegitu, cawangan lain tidak buat sebegitu.