Nilwan Kabang Meninggal Dunia Akibat COVID-19

KOTA KINABALU: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Nilwan Kabang meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 di Hospital Gleneagles dekat sini pada 3.45 pagi tadi.

Nilwan, 71, yang juga Timbalan Ketua Penerangan UMNO Sabah difahamkan dimasukkan ke hospital sejak awal September bagi menjalani rawatan setelah disahkan positif Covid-19.

Bekas ADUN Kunak ini memenangi kerusi DUN Kunak selepas memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRU 2013.

Bagaimanapun semasa bertanding pada PRU-14, beliau gagal mempertahankan kerusi DUN Kunak setelah tewas kepada calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Norazlinah Arif.

Beliau dilantik sebagai Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar di bawah pemerintahan Tan Sri Musa Aman pada 2013.

Allahyarham memulakan kerjaya politik dengan menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) sebelum menyertai UMNO apabila parti itu melebarkan sayap ke Sabah.

Nilwan merupakan pemimpin politik veteran Sabah yang ketiga meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19 dan allahyarham dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Ulu, Putatan.

Pada hujung Ogos lalu, bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Sakaran Dandai dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Lajim Ukin meninggal dunia akibat jangkitan Covid-19.