NGO Tawar Sekolah Alternatif Dijadikan Pusat Agihan Bantuan

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Gabungan Guru Alternatif menawarkan khidmat sukarelawan untuk menjadikan sekolah alternatif sebagai pusat pengagihan bantuan makanan, air bersih serta bekalan ubat-ubatan kepada masyarakat khususnya di pulau.

Gabungan itu adalah  pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mengendalikan sembilan sekolah alternatif di negeri ini merangkumi Cahaya Learning Center, Sandakan; ALC Saga, Likas; Sekolah Alternatif Harumanis dan Sekolah Alternatif Teluk Layang di Kota Kinabalu; Iskul Sama Laut Omadal, Mabul Kids Education Society, Sekolah Alternatif Kampung Bangau-Bangau di Semporna; Sekolah Alternatif Kampung Hidayat, Tawau dan Pacos Trust, Penampang.

Pengerusi Cahaya Society, Asrin Utong, berkata susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai rakyat di pedalaman, masyarakat pulau, pelarian, gelandangan dan warga tanpa dokumen di negeri ini menerima impak besar terutama daripada segi bantuan makanan, kesihatan dan maklumat.

Katanya, masyarakat pedalaman dan pulau yang jauh dari bandar serta masyarakat pelarian di skim penempatan pelarian, gelandangan dan warga tanpa dokumen di kampung seluruh negeri ini tidak menerima penjelasan polisi serta bantuan.

“Sekatan jalan raya dan laut menyukarkan lagi usaha mereka untuk bergerak mendapatkan bantuan atau informasi luar. Kita juga sukar menyampaikan bantuan kepada mereka.

“Apabila PKP dilanjutkan sehingga 14 April, ia menambahkan lagi beban kerana ramai yang kehabisan stok makanan dan hilang sumber pendapatan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Asrin berkata, Gabungan Guru Alternatif menyambut baik usaha kerajaan negeri untuk menyalurkan bantuan bekalan makanan kepada semua penduduk terutama di kawasan kepulauan tanpa mengira kewarganegaraan.

Justeru, katanya, mereka bersedia untuk bekerjasama dengan menawarkan khidmat sukarelawan untuk menyalurkan bantuan berkenaan kepada masyarakat terpinggir.

“Kita berharap kerajaan negeri beri peluang kepada NGO untuk membantu meringankan beban kerajaan dan masyarakat ketika krisis wabak Covid-19 ini,” katanya.

Sekolah alternatif adalah pusat pembelajaran yang menyediakan kemahiran asas 3M (Membaca, Menulis dan Mengira) untuk kanak-kanak tercicir pendidikan kerana status yang tidak memiliki pengenalan diri.

Sehingga 2017, hampir 400 sekolah alternatif dibuka di negeri ini.