NGO Setuju Pembinaan Empangan Papar Demi Kemajuan Sabah

505

KOTA KINABALU: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Pantau Penampang menyambut baik langkah kerajaan membina empangan Papar untuk memenuhi keperluan air dan elektrik negeri.

Pengerusinya, Jo Nandu berkata, pembinaan empangan Papar berbeza dengan hasrat Barisan Nasional (BN) untuk membina Empangan Kaiduan di Penampang yang boleh menyebabkan kerosakan alam sekitar, ladang penduduk penduduk serta memusnahkan beberapa kampung.

Bagaimanapun menurut Jo, pembinaan empangan Papar telah diburuk-burukkan melalui pelbagai maklumat tidak tepat dan palsu yang disebarkan di media sosial sehingga menakutkan orang ramai.

JO NANDU

“Ini tidak baik. Memang betul sebelum ini BN mencadangkan Empangan Kaiduan yang akan memusnahkan beberapa kampung dan ladang, saya tahu kerana saya bersama wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pasukan petugas Bantah pada 14 Disember 2013 untuk menentang projek itu.

“Saya jugalah yang telah memulakan kempen kesedaran melalui media sosial pada 2008, Empangan Kaiduan sangat besar sedangkan masa itu sudah ada Empangan Babagon di Penampang, justeru kami tidak mahu ada dua empangan gergasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Jo, perkara yang sama tidak berlaku dengan empangan Papar kerana pembinaannya lebih terancang dan dibuat di lokasi yang lebih baik tanpa menjejaskan alam sekitar atau penduduk kampung.

Jelas beliau, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah mendengar bantahan tersebut dan berjanji tiada kawasan di Penampang akan terlibat, malah Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Peter Anthony yang berasal dari Papar turut menyokong pembinaan tersebut di kawasannya.

“Kerajaan sekarang telah menimbang secara serius aspek-aspek penting seperti saiz empangan, bagaimana pembinaannya mampu membantu rakyat, lokasinya serta kesan minima terhadap alam sekitar,” kata Jo.

Meskipun begitu, Jo turut menegur kelalaian kerajaan ketika mengumumkan pembinaan empangan Papar kerana dibuat secara tidak profesional dan tanpa maklumat terperinci menyebabkan timbul pelbagai spekulasi negatif.

“Projek ini bukanlah perkara kecil yang boleh diumumkan sesuka hati semata-mata untuk pembangunan.

“Pengumuman dibuat tidak betul. Ketika diumumkan tiada dinyatakan tentang kepentingan penduduk kampung telah dititik beratkan, sangat teruk dan tidak profesional,” tegasnya.

Mengulas lanjut, menurut Jo, empangan Papar sangat penting dalam usaha kerajaan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat terutama golongan muda lebih-lebih lagi dalam tempoh masa yang singkat.

Beliau berkata, ketika ini kadar bayaran elektrik di Sabah adalah yang tertinggi di Malaysia manakala pada masa yang sama tekanan air di Papar, Benoni, Bongawan, Membakut, Beaufort, Sindumin, Wetson, Menumbok dan Kuala Penyu pula terlalu rendah.

“Jika orang ramai mengikuti perkembangan terkini, mereka pasti setuju jika Toyota membuka kilang di Kota Kinabalu tetapi syarikat itu memerlukan infrastruktur asas yang baik seperti bekalan elektrik dan air mesti stabil,” katanya.

Tambahnya, masalah itu perlu diselesaikan segera terutama dengan pembinaan pekan gas asli dan cecair (LNG) Kimanis dan Pekan Benoni yang sedang berlangsung.

“Bukannya kerajaan tidak mahu berusaha meneruskan pilihan yang mesra alam sekitar cuma kos untuk mengimport teknologi itu terlalu tinggi dan Sabah pula amat memerlukan kemasukan pelabur bagi membuka peluang pekerjaan kepada rakyat terlebih dahulu.

“Jangan harap industri besar akan bermula di Sabah jika kita tidak mampu menyediakan infrastruktur asas seperti elektrik dan air,” ujarnya.