Nelayan Vietnam Ditahan Maritim Malaysia di Labuan

Bot nelayan Vietnam yang ditahan di perairan Pulau Kuraman, Labuan.

Oleh NORA AHMAD
LABUAN: Taktik nelayan asing menggunakan bot nelayan yang didaftarkan sebagai bot kargo untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan gagal apabila ditahan pasukan Maritim Malaysia, di Pulau Kuraman, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 2.15 petang, bot nelayan Vietnam itu dikesan menjalankan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding di kawasan perairan terbabit.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, kehadiran dua bot Vietnam berjaya dikesan selepas menerima aduan daripada komuniti tempatan.

Ujian calitan dibuat oleh pihak KKM terhadap nelayan yang ditahan.

“Bot Maritim Malaysia berjaya mengesan dua bot nelayan yang disyaki bot nelayan Vietnam dan didapati sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan secara bergandingan.

“Kru bot Maritim kemudian bertindak menghampiri bot terbabit dan salah satu bot berjaya diperiksa namun sebuah lagi berjaya melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya lagi, hasil pemeriksaan terhadap bot itu terdapat lima kru termasuk tekong dipercayai warga Vietnam.

“Semua nelayan berkenaan berusia antara 22 hingga 35 tahun dan didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

“Selain itu, pukat tunda ganding yang digunakan nelayan terbabit didapati dipotong bagi menghapuskan bahan bukti,” katanya.

Sehubungan itu, semua nelayan ditahan untuk membantu siasatan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 manakala bot pula dirampas.

“Bagi memastikan semua kru bot nelayan terbabit bebas dari virus Covid-19, pihak Zon Maritim Labuan memohon bantuan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melakukan ujian calitan,” katanya.