Nelayan Ulang Kesalahan Tangkap Ikan Di Pesisiran Pantai Ditahan Kali Kedua

333
Bot nelayan yang ditahan dan dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Juragan bot nelayan yang sudah dikenakan kompaun akibat menangkap ikan di kawasan pesisir pantai ditahan sekali lagi kerana mengulangi kesalahan yang sama.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, bot nelayan jenis tunda itu ditahan bersama sebuah lagi bot nelayan yang turut melakukan kesalahan menangkap ikan di pesisiran pantai, masing-masing di Pulau Sepanggar dan Pulau Gaya.

Beliau berkata, ketika menjalankan Ops Gelora, anggota PPM mendapati kedua-dua juragan bot sedang leka menangkap ikan di Pulau Sepanggar dan Pulau Gaya pada jarak kurang tiga batu nautika dari pesisiran pantai.

Kedua-dua bot itu ditahan pada 10.30 malam (Jumaat) dan 12.55 pagi Sabtu.

Pasukan Polis Marin melakukan pemeriksaan ke atas bot nelayan yang didapati menangkap ikan berdekatan pesisiran pantai

“Apabila diperiksa didapati salah satu bot yang ditahan dalam operasi ini adalah bot yang ditahan beberapa hari lepas.

“Bot itu telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan dan telah dikenakan kompaun sebelum dibebaskan semula.

“Namun setelah dibebaskan, juragan bot masih berdegil dan melakukan kesalahan sama dengan menangkap ikan berdekatan pesisiran pantai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu.

Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM 60,300.

“Kita tidak akan berkompromi terhadap kesalahan-kesalahan yang dilakukan kerana perbuatan menangkap ikan berdekatan pesisiran pantai sangat berbahaya kepada nelayan kecil dan juga boleh merosakkan ekosistem marin,” ujarnya.

Tangkapan dan barangan yang dirampas dibawa ke pangkalan Markas Operasi Pasukan Polis Marin Kota Kinabalu sebelum diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan kerana melanggar syarat-syarat lesen.