Nelayan Hilang Di Laut Ketika Memancing

201

Oleh TERTIA JACOB
SANDAKAN: Seorang nelayan warga tempatan dikhuatiri lemas selepas dilaporkan hilang ketika keluar memancing menggunakan sampan di perairan Telukan, dekat sini, Khamis lalu.

Mangsa, Joekinal Angkalamai, 36, dikatakan keluar memancing bersendirian pada pukul 10 pagi dan isteri mangsa, Amy Mohd Shik cuma menyedari kehilangannya apabila suaminya tidak pulang ke rumah selepas 5 petang.

Difahamkan, kejadian itu cuma dilaporkan kepada polis semalam sebelum operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pada pukul 3.50 petang.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd. Zuki berkata, dua bot ditugaskan dalam operasi itu semalam membabitkan aset  Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan radius sektor pencarian sepanjang lima batu nautika.

“Operasi hari ini dibahagikan kepada empat sektor pencarian seluas 20 batu nautika persegi membabitkan aset Maritim Malaysia, PDRM, Tentera Laut Diraja Malaysia

(TLDM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Keseluruhan anggota membabitkan seramai

35 orang,” katanya di sini, hari ini.

Zainudin turut mengingatkan orang ramai agar segera menyalurkan sebarang aduan atau kecemasan di laut dengan menghubungi terus bilik operasi 24 jam Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian MERS 999.