Mangsa, Abd Rahman Tumai, 54, berjaya diselamatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kira-kira jam 2 petang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian bot karam di perairan berkenaan pada 11.14 pagi.
“Menurut pemanggil terdapat seorang mangsa terlibat selepas bot dinaikinya karam akibat terlanggar batu ketika dalam perjalanan balik ke rumah.
“Pasukan bomba bersama agensi bantuan menjalankan operasi mencari mangsa dengan kaedah ‘surface rescue’ dengan menggunakan bot,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Katanya, mangsa ditemui oleh Maritim Malaysia di lokasi satu batu nautika dari pantai dalam keadaan terapung dan sedang berpaut pada tong ikan.
“Mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat dan kemudiannya dibawa ke pantai bersama bot mangsa dengan bantuan penduduk kampung dan Maritim Malaysia.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Sabah, Misran Bisara ketika dihubungi berkata pasukan bomba membantu menghantar mangsa ke rumahnya di Kampung Gumpa.
Operasi ditamatkan jam 2 petang.