Nelayan Asing Ceroboh Perairan Sabah

Bot nelayan asing ditahan di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud.

Oleh NORA AHMAD
KOTA KINABALU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah lagi bot nelayan asing dipercayai melakukan pencerobohan di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud, semalam.

Dalam kejadian pukul 4.45 peang itu, turut ditahan seramai 25 individu warga Vietnam bersama empat tan hasil tangkapan ikan di perairan negeri ini.

Pengarah Maritim Sabah, Laksamana Pertama Maritim Mohd Rosli Abdullah berkata, bot itu ditahan ketika sepasukan anggotanya menjalankan Operasi Naga Timur dan Operasi Sejahtera di perairan Kota Kinabalu.

“Ketika operasi, mereka dimaklumkan oleh Pusat Operasi Maritim Sabah untuk melakukan pemantauan di kawasan perairan Pulau Mantanani selepas dipercayai terdapat bot nelayan asing sedang melakukan aktiviti menangkap ikan secara tunda ganding.

“Setelah tiba di lokasi, bot peronda maritim telah menahan bot nelayan asing disyaki dari Vietnam untuk tujuan pemeriksaan dan terdapat 25 orang kru termasuk tekong berusia antara 18 hingga 50 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri tetapi dipercayai warga Vietnam,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Katanya lagi, pemeriksaan lanjut di bot itu mendapati tiada sebarang dokumen atau kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia bagi menjalankan aktiviti menangkap ikan di perairan negara.

Ujian saringan Covid-19 dijalankan terhadap anggota Maritim Malaysia dan individu yang ditahan oleh petugas KKM.

“Dalam masa sama, kita dapati bot nelayan asing itu juga membawa hasil tangkapan pelbagai jenis ikan yang dianggarkan sebanyak empat tan,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Rosli berkata, semua nelayan itu ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim, Sepanggar untuk diserah kepada pegawai penyiasat.

“Ujian saringan Covid-19 juga dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terhadap anggota yang bertugas dan individu yang ditahan bagi mengekang penularan penyakit itu,” katanya.