Nelayan Antara Dalang Penculikan Di Pantai Timur Sabah

Oleh ARDYHANSAH AMAT
SEMPORNA: Segelintir nelayan dikesan menjadi antara dalang kes penculikan yang berlaku di sekitar perairan Pantai Timur Sabah.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, kumpulan nelayan terbabit menjadi pemerhati atau ‘spotter’ untuk melihat mangsa sebagai ‘soft target’ dan menyalurkan maklumat kepada kumpulan penjenayah rentas sempadan.

“Pihak berkuasa khususnya Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sedia maklum mengenai perkara ini dan turut mengesan beberapa pihak lain selain kumpulan nelayan turut terlibat sebagai ‘spotter’.

“Ada di antaranya yang sudah diambil tindakan termasuk ditembak mati seperti yang berlaku di Semporna, Lahad Datu dan Kinabatangan sebelum ini,” katanya kepada media hari ini.

Tambah Omar, pihaknya sedang memantau saki baki kumpulan pemerhati yang menjadi dalang kepada setiap kes penculikan di sini.

“Dalam masa sama, agensi keselamatan Filipina sedang bertindak memburu suspek penculikan terbaharu di Lahad Datu, 15 Januari lalu.

“Berdasarkan maklumat yang diterima ada suspek yang berjaya ditembak mati oleh pasukan keselamatan di sana,” katanya.

Menurutnya, mangsa penculikan masih berada di Selatan Filipina dan pihak berkuasa Malaysia dan Filipina sedang berusaha melakukan operasi menyelamat.

Sementara itu, Komander ESSCOM Datuk Hazani Ghazali dalam kenyataannya mengesahkan dua suspek penculik yang mati dibunuh dalam insiden berbalas tembakan di selatan Fililina dikenali sebagai Kah Bong dan Melbi, iaitu penunjuk arah dan perunding kumpulan Abu Sayyaf.

Sebelum ini, lapan nelayan warga Indonesia dilaporkan hilang dipercayai diculik di perairan Tambisan, Tungku, Lahad Datu, sebelum tiga daripadanya dibebaskan.

Lima lagi nelayan tersebut dikenali sebagai Arsyad Dahlan, 41; La Baa, 32; Riswanto Hayano, 27; Edu Lawalopo, 53, dan Syarizal Kastamiran, 29, dilarikan kumpulan penculik itu ke selatan Filipina untuk tujuan tuntutan pampasan.