Nasib Mangsa Kebakaran Kg Bangau-Bangau & Kg Simunul Perlu Pembelaan – ADUN Bugaya

KOTA KINABALU: Lima tahun berlalu namun, nasib penduduk Kampung Bangau-Bangau dan Kampung Simunul yang terjejas akibat kebakaran masih belum terbela.

Maka, sudah tiba masanya kerajaan yang memerintah hari ini mengambil peduli tentang keresahan dan kesukaran yang dihadapi mangsa-mangsa kebakaran di kedua-dua kampung tersebut.

Jamil Hamzah (Warisan-Bugaya) berkata, kebakaran yang berlaku pada 2017 mengakibatkan penduduk Kampung Bangau-Bangau kini merempat di tanah sendiri.

“Mereka ini rakyat Malaysia dan layanan yang adil dan berperikemanusiaan wajib diberikan oleh kerajaan.

“Malah, semasa kerajaan Warisan peruntukan RM8 juta telah disalurkan bagi pelaksanaan segera projek membaik pulih kerosakan harta benda dan infrastruktur di sini.

“Namun setelah hampir 3 tahun berlalu, masih tiada tindakan yang diambil,” katanya dalam ucapan perbahasan Belanjawan Negeri 2023 di DUN Sabah hari ini.

Justeru, ADUN yang baharu memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya pada 19 November lalu meminta penjelasan daripada kerajaan mengenai status projek penempatan semula mangsa-mangsa kebakaran tersebut.

Jamil mahu perincian diberikan adakah kerajaan bercadang menyediakan penempatan sementara yang lebih kondusif kepada penduduk terjejas sepanjang projek ini dilaksanakan.

Bagi mangsa kebakaran di Kampung Simunul pula, ketika ini mereka ditempatkan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) namun, ia bukan rumah kekal sebaliknya, rumah sewaan.

“Justeru saya memohon pertimbangan kerajaan negeri agar menukar skim sedia ada kepada skim sewa beli yang mana inilah permintaan semua penduduk,” katanya.