Nakhoda Bersama Lapan Kru Kapal Ditahan Di Labuan

LABUAN: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MaritimMalaysia) Zon Maritim Labuan menahan seorang nakhoda kapal bersama lapan kru kapal yang didapati melakukan pemindahan kapal ke kapal tanpa kebenaran.

Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Nudin Jusoh berkata, semasa rondaan rutin, pasukan operasi telah mengesan sebuah bot tunda sedang berhimpit pada sebuah kapal tangki di kedudukan 0.3 batu nautika dari Pulau Labuan.

Berikutan itu, penggeledahan dilakukan dan mendapati bot tunda terbabit disyaki telah melakukan aktiviti pemindahan kapal ke kapal iaitu memindahkan air tanpa kebenaran daripada Jabatan Laut Malaysia.

Pemeriksaan juga mendapati nakhoda kapal, warga India bersama lapan kru yang terdiri daripada dua warga tempatan dan enam warga Indonesia sedang melakukan kerja-kerja berkenaan.

Justeru, bot tunda bersama nakhoda kapal serta semua kru ditahan bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 (MSO) yang boleh membawa hukuman kompaun RM50,000 atau denda RM100,000 jika sabit kesalahan.

Beliau menasihatkan komuniti maritim supaya sentiasa mematuhi undang-undang yang termaktub di dalam perlembagaan bagi mengelakkan diri daripada terbabit dengan sebarang salah laku di perairan negara.

Sebarang maklumat berkaitan jenayah maritim boleh dilaporkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-427999 atau talian kecemasan MERS999.