Nak Seribu Daya, Tak Nak Seribu Dalih….. Wira Warisan Sepanggar

AJK Wira Warisan Sepanggar, diketuai oleh Norazmi Haji Alimat, tengah, membuat kunjungan keatas keluarga Azmizam baru-baru ini.

SEPANGGAR: “Berat Sama Dipikul, Ringan Sama Dijinjing” atau “Nak Seribu Daya, Tak Nak Seribu Dalih ………

Pepatah inilah yang dapat didefinisikan atas inisiatif yang telah diambil oleh Jawatankuasa Wira Warisan Sepanggar dalam memberikan khidmat dan perkongsian terbaik, bukan sahaja dalam soal sosio-politik, malahan juga peranan dan penglibatan dalam sosio-masyarakat.

Dalam usaha untuk mendekati dan mengetahui kehendak rakyat, seterusnya dalam mewujudkan perkongsian terbaik kepada masyarakat, Wira Sepanggar yang diterajui oleh Norazmi Hj Alimat selaku Ketua Wira juga tidak ketinggalan untuk menggunakan medium interaktif laman sosial sebagai salah satu platfom penyampaian dan penerimaan serta perkongsian secara terus menerusi talian internet.

Selain dapat berkongsi perkembangan dan hal ehwal semasa dalam dan luar negara, laman sosial ini juga dapat dijadikan satu medium untuk mengetahui, mendekati dan menyelami isi hati dan kehendak masyarakat, selain membidas tomahan serta perkara-perkara yang bersifat provokasi dari masa ke semasa terutamanya yang bersifat fitnah serta mengadu domba demi kepentingan individu atau pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Oleh yang demikian, baru-baru ini, melalui salah satu laman sosial Wira Warisan Sepanggar telah menerima satu kiriman mesej yang dikirimkan dan dihantar oleh seorang individu yang secara langsung terbuka hati untuk berkongsi akan permasalahan yang sedang dan akan beliau hadapi.

Perkongsian tersebut juga telah mendapat perhatian dan maklumbalas daripada Norazmi serta Wira Sepanggar sejurus menerima kiriman mesej tersebut.

Bertindak atas maklumat hasil perkongsian lanjut bersama individu tersebut, membawa kepada satu sesi lawatan dan kunjungan kasih daripada Norazmi bersama pihak Wira Sepanggar untuk bertemu keluarga individu tersebut di kediaman mereka di Taman Putera Jaya Telipok.

Kunjungan kasih tersebut yang diketuai Norazmi, Azrhan Aziz, Timbalan Ketua Wira serta rakan-rakan Wira Sepanggar telah dapat membuka ruang untuk kedua-dua belah pihak saling kenal mengenali dengan lebih dekat disamping dapat berkongsi cerita tentang permasalahan yang dihadapi oleh individu tersebut yang dikenali sebagai Azmizam Bin Mohd Tahir.

Azmizam yang juga merupakan seorang ayah kepada lim orang anak serta suami kepada Suraida Muhammad sempat berkongsi cerita bahawa salah seorang anak mereka iaitu Nurfateha akan menjalani pembedahan jantung di India dalam masa yang terdekat ini.

Di akhir kunjungan tersebut juga, rombongan Warisan Sepanggar turut sudi menyampaikan sumbangan ikhlas bagi membantu sedikit sebanyak keperluan keluarga tersebut kelak serta mendoakan agar urusan perubatan Nurfateha dipermudahkan dan segala urusan keluarga tersebut kelak mendapat keberkatan.