Naik Taraf Landasan Keretapi Tingkat Sektor Pelancongan Beaufort

KOTA KINABALU: Peruntukan sebanyak RM50 juta untuk menaik taraf landasan keretapi antara stesen Halogilat ke Tenom diyakini mampu meningkatkan sektor pelancongan di daerah Beaufort seterusnya ke Tenom.

Ahli Parlimen Beaufort Datuk Azizah Mohd Dun berharap usaha menaik taraf itu dapat dipercepatkan pelaksanaannya agar memberi keselesaan kepada penumpang harian termasuk pelancong yang ingin merasai pengalaman menaiki keretapi bersejarah itu.

“Kita juga berharap selain menaik taraf landasan, keretapi baharu juga perlu dibekalkan bagi memenuhi keperluan pengguna yang sering menggunakan kemudahan itu khususnya bagi kedua-dua penduduk daerah Beaufort dan Tenom,” katanya ketika dihubungi melalui aplikasi Whatsapp, di sini hari ini.

Azizah yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berkata dengan penambahbaikan itu juga akan menjadikan daerah Beaufort sebagai pusat maklumat kepada pelancong tempatan mahupun luar negara.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengumumkan peruntukan itu ketika membentangkan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum ini, Bernama melaporkan pengguna yang sering menggunakan perkhidmatan keretapi dari Pekan Beaufort ke Tenom sejauh 48 kilometer itu mahu pengangkutan itu dinaik taraf untuk keselesaan penumpang.