Naib Canselor UMS: Maszlee Seperti Hina Rakyat Sabah

ISMAIL AYUB

KOTA KINABALU: Tindakan Kementerian Pendidikan yang membelakangkan suara kerajaan negeri dalam isu pelantikan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang baharu tidak sepatutnya berlaku jika kerjasama antara kedua-dua pihak diambil kira.

Timbalan Ketua Wira Parti Warisan Sabah (Warisan) Mohd. Ismail Ayub berkata, pelantikan tersebut seolah-olah satu penghinaan kepada negeri ini kerana suara rakyat Sabah langsung tidak diambil kira.

“Seharusnya hubungan yang baik di antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri diutamakan iaitu Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik mengambil kira pandangan dan berbincang berkenaan perlantikan tersebut bersama Ketua Menteri dan ini menunjukkan Dr. Maszlee tidak menghormati kerajaan negeri.

“Mengapa pula Dr. Maszlee menidakkan suara rakyat Sabah dan membelakangkan kerajaan negeri seolah-olah tidak wujud,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kementerian Pendidikan telah mengesahkan pelantikan Prof. Dr. Taufik Yap Yun Hin sebagai Naib Canselor baharu UMS berkuatkuasa 30 Julai ini sehingga 29 Julai 2022.

Semalam, Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, pelantikan tersebut tidak bermasalah, namun dibuat atas keputusan sendiri Kementerian Pendidikan tanpa mendapat pandangan kerajaan negeri.

Kata Mohd. Shafie, walaupun mempunyai kuasa melantik, Kerajaan Persekutuan sepatutnya mendapatkan pendapat daripada kerajaan negeri terlebih dahulu.

Mengulas lanjut, Mohd. Ismail berkata, Kementerian Pendidikan sepatutnya sedar kerjasama antara kerajaan negeri dengan UMS penting dalam membangunkan universiti serta melancarkan pengurusannya.

“Dr. Maszlee patut sedar tanpa kerjasama tersebut dan persefahaman baik antara kerajaan negeri serta UMS agak sukar untuk mengembangkan universiti itu terutama apabila penyelidikan-penyelidikan yang sudah tentu perlu merujuk kerajaan,” tegasnya.

Menurut beliau, jika pelantikan seperti itu pun Kerajaan Persekutuan tidak mempedulikan pandangan rakyat Sabah, maka timbul persoalan sama ada tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) juga akan ditunaikan.

Sehubungan itu, kata Mohd. Ismail, adalah lebih baik Yand Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin serta Mohd. Shafie masing-masing meletakkan jawatan Canselor serta Pro Canselor UMS jika peranan mereka tidak diperlukan.

BERITA BERKAITAN :-

Kementerian Pendidikan Pertahan Pelantikan Naib Canselor UMS

Pelantikan Naib Canselor UMS: Kementerian Pendidikan Abai Pandangan Sabah