NAFAS Sampaikan Bantuan Kepada 7,000 Pelajar Di Beluran

BELURAN: Kira-kira 7,000 pelajar daripada 60 sekolah dalam Parlimen Beluran di sini, menerima bantuan  Program Balik Ke Sekolah (CSR) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata NAFAS menyediakan peruntukan RM580,000 pada tahun ini untuk pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat  (CSR).

“Penyampaian bantuan dilaksanakan secara berperingkat di seluruh negara mulai Januari  lepas  dan sumbangan diberikan merupakan kelengkapan persekolahan termasuk beg, buku serta alat tulis, kepada golongan sasar khususnya dalam kalangan ahli keluarga petani, penternak dan nelayan,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan itu di sini. 

Katanya,  NAFAS prihatan dan mengambil berat dalam meringankan beban keluarga yang berpendapatan rendah terutama ketika persediaan anak-anak mahu ke sekolah.

“Dalam mendepani situasi semasa di mana pandemik COVID-19 yang masih belum berakhir ini, adalah diharapkan bantuan yang disampaikan pada hari ini sedikit sebanyak dapat membantu golongan yang memerlukan terutama dalam membuat persiapan awal persekolahan anak mereka,” katanya lagi. 

Menurut Kiandee,  pemberian sumbangan itu  bukan sahaja untuk menyalurkan bantuan kepada ahli-ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (Peladang) sahaja sebaliknya kepada masyarakat setempat juga. 

“Hal ini dibuktikan hasil keuntungan yang dijana oleh NAFAS, bukan sahaja dikembalikan kepada lebih 900,000 ahli Peladang, sebaliknya dikongsi juga bersama-sama seluruh rakyat yang memerlukan, misalnya hari ini juga, 13 buah enjin sangkut turut disampaikan kepada penerima yang layak,” katanya. 

Katanya sementara itu,  semua lapisan masyarakat dinasihatkan  mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 melalui aplikasi My Sejahtera atau laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my.