Nadi Sokongan Rakyat Terhadap Warisan Meningkat – Karim

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KIMANIS: Memasuki hari ketiga kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Karim Bujang dapat merasakan aura positif di lapangan setelah mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

Beliau berkata, beliau dapat melihat sokongan di peringkat akar umbi meningkat dan markas juga sudah digerakkan. Semangat penyokong parti juga meningkat.

“Kita merasa gembira melihat perkembangan ini. Selain gerak kerja dan bantuan sokongan moral diperlihatkan oleh Pakatan Harapan (PH) dan UPKO membuahkan hasil.

“Saya lihat gerak kerja di lapangan yang bertungkus lumus, jadi rasanya tidak salah jika saya katakan bahawa perkembangan positif itu memberi keyakinan kepada kita.

“Bagaimanapun saya tidak mahu terlalu yakin tapi senario di lapangan amat menggalakkan,” katanya ketika ditemui di Pejabat Bahagian Warisan Kimanis, di sini semalam.

Mengulas mengenai kawasan hitam, beliau berkata, sukar untuk menyangka situasi di kawasan hitam kerana dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lepas semua kawasan Pusat Daerah Mengundi (PDM) mempunyai sokongan 50-50 sama ada pembangkang atau kerajaan. Ketika itu Warisan pembangkang.

Namun, sekarang ini sokongan lebih kepada parti kerajaan memerintah. Jika dahulu mereka menyokong secara sembunyi-sembunyi tetapi hari ini, mereka memberi sokongan padu dan ia dapat dilihat dari gerak kerja PDM.

Katanya, operasi markas di 19 PDM juga didapati berjalan lancar kerana dikendalikan oleh kumpulan penyokong yang dilatih.

Untuk menarik pengundi atas pagar, pilihan raya kali ini melibatkan persaingan satu lawan satu dan usaha akan dilakukan bagi mendekati mereka. Walaupun jumlah mereka ini tidak sampai 10 peratus.

“Bagi yang lain, rata-rata menunjukkan mereka menyokong kerajaan dan saya boleh merasakan nadi sokongan rakyat.

“Ramai pengundi di kawasan ini bergantung kepada bantuan kerajaan seperti bantuan sara hidup, bantuan petani, nelayan dan pekebun kecil. Saya kira rata-rata mereka ini mengharapkan subsidi kerajaan dan mereka ini terdiri daripada mereka yang fikirkan tentang praktikaliti dalam meilih dan menentukan pemimpin yang mereka sokong,” ujarnya