Musim Obor-Obor Dijangka Hingga Mei Ini, Junz Wong

715
Gambar hiasan dari internet

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Musim obor-obor yang kini dilihat banyak di perairan dan pesisiran pantai di kawasan Pantai Barat Sabah dijangka akan berlanjutan sehingga Mei ini.

Oleh itu, orang ramai yang melakukan aktiviti air dinasihatkan memakai pakaian renang sepenuhnya bagi mengelakkan terkena sengat obor-obor yang akan menyebabkan gatal dan alergik pada bahagian badan.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Junz Wong berkata, kementerian itu melalui Jabatan Perikanan Sabah (DOFS) telah menghantar anggotanya bagi memantau keadaan pesisir pantai Tanjung Aru yang kini dilihat banyak obor-obor yang mati.

Kumpulan DOFS itu diketuai oleh Dr Shuhadah Mustapha dari Pejabat Bio-keselamatan Perikanan.

JUNZ WONG

Junz berkata, kumpulan itu mendapati obor-obor yang dominan dilihat di pesisir Pantai Tanjung Aru itu adalah ‘obor-obor pasir’ yang mempunyai bintik hitam. Spesis ini boleh menyebabkan rasa gatal atau menyebabkan berlakunya alergik jika terkena kulit hingga menyebabkan kemerahan dan bengkak.

“Musim obor-obor ini berikutan perubahan cuaca.Musimnya dijangka berterusan sepanjang musim kemarau ini dan mungkin akan berlarutan sehingga Mei,” katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tanjung Aru ini juga menyarankan orang ramai agar tidak mengutip obor-obor yang telah mati kerana dikhuatiri ianya masih boleh melepaskan toksin walaupun sudah mati.

Orang ramai perlu mematuhi arahan dan amaran yang diberikan dan bendera amaran merah telah diletakkan di kawasan tertentu dimana terdapat banyak obor-obor. Oleh itu, orang ramai disaran agar tidak melakukan sebarang aktivit berenang di kawasan yang ditandakan.