Musa, Rahman Dahlan Halang Bung Terima Kembali Salleh Keruak

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Pertikaian antara Datuk Seri Bung Moktar Radin dengan Tan Sri Musa Aman difahamkan berlaku disebabkan tindakan bekas Ketua Menteri Sabah itu yang cuba mengawal kembali UMNO Sabah.

Difahamkan, Musa yang disokong Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan merupakan penentang utama terhadap tindakan Bung sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah menerima permohonan Datuk Seri Salleh Said Keruak kembali kepada UMNO.

Menurut sumber, UMNO kini berpecah kepada beberapa kumpulan termasuk Abdul Rahman yang turut menyokong Musa mengukuhkan kembali pengaruh beliau manakala Bung mendapat sokongan pemimpin-pemimpin baharu.

“Musa langsung tidak bersetuju dengan tindakan Bung menerima Salleh tetapi sekarang Bung adalah ketua UMNO Sabah, justeru berlaku pertembungan antara dua pemimpin ini.

“Musa dengan gandingan Abdul Rahman menentang sekeras-kerasnya Salleh kembali ke dalam UMNO Sabah dan kedua-duanya juga mahu mengawal kembali UMNO daripada Bung,” kata sumber kepada Borneo Today.

Menurut sumber itu, UMNO Sabah telah diberikan autonomi untuk menerima mana-mana ahli, namun Bung dikatakan menyerahkan UMNO Pusat untuk membuat keputusan.

Semalam, Pengarah Komunikasi UMNO Sabah, Ghazalie Ansing berkata, UMNO menerima sesiapa sahaja untuk menyertai parti itu termasuklah pemimpin-pemimpin lama.

Katanya, UMNO Bahagian Kota Belud perlu berlapang dada jika Salleh kembali ke dalam parti itu.

Kenyataan Ghazalie itu pasti menyemarakkan kemarahan Musa yang sememangnya mahu kembali untuk membersihkan imejnya selepas ditolak rakyat dalam pilihan raya umum lalu.