Musa: Pemimpin UMNO Sabah Diingat Sentiasa Ikhlas Dalam Perjuangan

KOTA BELUD: Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Musa Aman mengingatkan semua pemimpin UMNO di negeri ini supaya sentiasa ikhlas dalam perjuangan bagi memperkuatkan lagi parti itu di negeri ini.

Ketua Menteri Sabah itu berkata perkara itu penting kerana perjuangan tanpa keikhlasan adalah salah dan hanya akan melemahkan parti.

“Jangan ‘tikam-menikam’ antara satu dengan yang lain…itu bukan cara UMNO Sabah.

Jikalau kita ikhlas, tiada iri hati, dengki, dan benci sudah tentu UMNO Sabah sentiasa dalam keadaan yang baik kuat dan mantap.

Sebenarnya keikhlasan adalah kunci perpaduan dan kekuatan kita. Oleh itu orang lain selalu katakan Sabah adalah kubu kuat UMNO,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa UMNO Sabah Zon 1 (Kudat, Kota Marudu, Tuaran dan Kota Belud) di sini, hari Ahad.

Turut hadir Bendahari UMNO yang juga Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, Dr Salleh Said Keruak; Timbalan Ketua Menteri Sabah, Yahya Hussin; Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan; Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia; Ketua Bahagian UMNO Tuaran, Hajiji Noor; Ketua Bahagian UMNO Kota Marudu, Wetrom Bahanda dan Ketua Bahagian UMNO Kudat Bolkiah Ismail.

Musa berkata pemimpin dalam UMNO adalah seperti adik beradik dan perlu saling bantu membantu.

“Ada yang tanya kenapa UMNO Sabah kuat? Saya jawab kami (UMNO Sabah) ada persefahaman, kesatuan dan yang paling penting kami ikhlas dalam perjuangan. Namun sekiranya kita tiada persefahaman maka itu adalah satu petanda yang tidak baik untuk UMNO di Sabah,” katanya.

Sementara itu, Musa meminta semua Ketua Bahagian UMNO di seluruh Sabah agar sentiasa menjaga dan memperkuatkan bahagian masing-masing.

“Kita sedar sekarang banyak parti politik pembangkang yang keluar masuk kampung dan membuat pelbagai andaian dan menabur fitnah kepada rakyat. Oleh itu sebagai ketua bahagian kita perlu jaga ahli masing-masing. Jangan biarkan mereka terpengaruh atau tertipu dengan oleh anasir yang ingin melihat parti kita berpecah belah.

Namun saya percaya setiap ketua bahagian mempunyai cara tersendiri untuk memperkuatkan bahagian masing-masing,” katanya.