Musa Masih Berdepan 30 Pertuduhan Rasuah Lebih RM200 juta

Gambar ihsan Lim Huey Teng/Malaysiakini.com

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman masih berdepan dengan 30 pertuduhan rasuah berkaitan konsesi balak bernilai lebih RM200 juta walaupun dibebaskan lima daripada keseluruhan 35 pertuduhan yang dihadapinya.

Pada November tahun lalu, beliau sebagai seorang ejen kerajaan negeri Sabah iaitu Ketua Menteri Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah, didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan iaitu wang keseluruhan berjumlah AS$63.3 juta (RM263,460,962.313).

Wang suapan itu ialah sebagai dorongan untuk melakukan perbuatan memberikan kontrak konsesi balak Sabah kepada beberapa buah syarikat antaranya Syarikat Segar Tepat Sdn Bhd dan J.V. Lestari Sdn Bhd.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di tujuh bank dan institusi kewangan di luar negara, antaranya HSBC Bank, Claymore Plaza, dan Ocean Tower di Singapura serta UBS AG Bank, Central, Hong Kong, China.

Pendakwaan mengikut Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta sama.

Bagi semua pertuduhan itu, Musa berdepan dengan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana yang lebih tinggi.

Beliau dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM2 juta sementara menjalani perbicaraan dan atas faktor kesihatan.

Terdahulu hari ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membebaskan Musa daripada lima pertuduhan itu yang membabitkan rasuah berjumlah kira-kira RM52.4 juta.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membenarkan pembebasan itu walaupun Timbalan Pendakwa Raya, Umar Saifuddin Jaafar memohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan.

Musa yang hadir ke mahkamah dibenarkan duduk di kandang tertuduh atas faktor kesihatan dan mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Beliau merupakan Ketua Menteri Sabah dari 2003 hingga pilihan raya umum tahun lalu apabila Barisan Nasional (BN) hilang tampuk pemerintahan di tangan Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.