Musa Aman Sengaja Memundurkan Semporna Demi Politiknya

Francis Au

Oleh FRANCIS AU
SURAT: Jika Musa Aman bertanya apakah sumbangan (Datuk Seri) Shafie Apdal kepada negeri Sabah khususnya daerah Semporna, maka, supaya berlaku adil kepada Shafie, saya bagi pihak Warisan juga ingin mengajukan soalan yang sama kepada Musa Aman (ketua menteri Sabah).

Selama 13 tahun Musa Aman menjadi Ketua Menteri Sabah, apakah yang dia sudah lakukan untuk membangunkan negeri Sabah khususnya di kawasan luar bandar termasuklah daerah Semporna?

Bukankah menjadi tanggungjawab Musa sebagai Ketua Menteri Sabah untuk membangunkan negeri Sabah termasuklah Semporna?

Selama tempoh 13 tahun Musa menjadi Ketua Menteri, berapa kali beliau telah turun padang untuk melihat dan meninjau masalah di Semporna?

Adakah Musa mengaku bahawa, jika Semporna diklasifikasikan sebagai mundur, selain Shafie ada lagi pemimpin lain UMNO/BN seperti Datuk Nasir Sakaran dan Datuk Ramlee Marhaban. Adakah Musa mahu mengakui bahawa pemimpin UMNO/BN ini juga sebenarnya gagal melaksanakan tanggungjawab mereka?

Pusat bandar Semporna.

Hakikatnya, walaupun pada pandangan Musa daerah Semporna ini masih mundur, namun Semporna jika dibandingkan dengan daerah-daerah lain di Sabah jauh lebih maju daripada daerah Kota Belud, Kota Marudu dan banyak daerah lagi.

Dari aspek pendidikan misalnya, kolej-kolej pendidikan seperti MRSM, KPTM, Kolej Komuniti, Kolej Risda sudah wujud di Semporna.

SEMPORNA MEMPUNYAI JALAN-JALAN KAMPUNG BERTARAF ASPHAL

Shafie Apdal

Dari aspek prasarana jalanraya, di Semporna hampir tiada lagi jalan-jalan kampung bertaraf gravel berbanding daerah-daerah lain di Sabah seperti Kota Belud, Kota Marudu, Kudat, Batu Sapi dll. Malahan masih banyak lagi kawasan di negeri Sabah masih berlumpur dan sukar dilalui kenderaan.

Apa yang berlaku di Semporna bukan kerana Shafie gagal memajukannya tetapi Musa selaku ketua menteri secara jelas memundurkan daerah ini secara terancang demi kepentingan politiknya.

Lihat saja dari sudut industri pelancongan, berapa kerajaan negeri membelanjakan bajet negeri untuk memperbaiki dan menambah kemudahan awam bagi menarik lebih ramai pelancong ke daerah semporna?

Semporna yang menyumbang pendapatan kepada Kerajaan Negeri melalui sektor pelancongan tidak mendapat pulangan pendapatan hasil janaan.

Berapa kerajaan negeri membelanjakan bajet negeri untuk memperbaiki dan menambah kemudahan awam bagi menarik lebih ramai pelancong ke daerah semporna?

Isu sampah seperti yang sering di gembar gemburkan. Ini menunjukkan kegagalan Pejabat Daerah dan Majlis Daerah yakni agensi di bawah kerajaan Negeri Sabah yang mana di luar bidang kuasa Shafie sebagai Menteri Persekutuan.

Kegagalan pejabat daerah dan majlis daerah adalah kegagalan Musa melalui Kementerian Pelancongan dan Alam Sekitar dan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri Sabah yakni kementerian dibawah bidang kuasa Musa selaku ketua menteri sabah.

Walaupun begitu, Shafie sebagai Menteri Persekutuan tidak pernah putus-putus untuk menyalurkan pembangunan di negeri Sabah termasuklah daerah Semporna.

PERUNTUKAN UNTUK PEMBANGUNA SEMPORNA DARI PERSEKUTUAN

Musa Aman

Setiap pembangunan yang datang ke Semporna sejak Musa menjadi ketua menteri adalah datang dari peruntukan persekutuan.

Itu pun, setiap peruntukan yang disalurkan Musa akan cuba halang setiap projek pembangunan yang dibawa bila ianya melibatkan kuasa-kuasa kerajaan negeri seperti projek jambatan Pulau Bum-Bum.

Selain itu, syarikat luar negara yang ingin melabur di Semporna terutama dalam industri laut juga tidak mendapat kerjasama daripada Kerajaan Negeri malah tidak di galakkan untuk ke Semporna.

Justeru, tidak keterlaluan kalau dikatakan bahawa pembangunan yang ada di Semporna hari ini adalah hasil usaha dan kebijaksanaan Shafie.

Jika dilihat dari aspek menyeluruh prestasi Musa, sebenarnya dia gagal melaksanakan tanggungjawab beliau. Antara kegagalan beliau sebagai Ketua Menteri Sabah:

KEGAGALAN MUSA LAKSANAKAN TANGGUNGJAWAB

1. Aspek Keselamatan: Kes-kes penculikan masih berleluasa sedangakan beliau adalah pengerusi keselamatan negeri Sabah. Ini juga adalah contoh kegagalan beliau selaku ketua menteri Sabah.

2. Skandal Jabatan Air Negeri Sabah: Rasuah melibatkan agensi di bawah bidang kuasa kerajaan negeri berlaku secara berleluasa contohnya kes Jabatan Air Negeri Sabah.

3. Skandal Kayu Balak: Kes kecurian kayu balak milik rakyat Sabah.

4. Gangguan Bekalan Elektrik: Masalah bekalan elektrik di negeri Sabah yang sering terputus termasuk di kawasannya di Libaran, Sandakan.

Sembilan kampung di Kota Belud dilanda banjir kilat baru-baru ini.

5. Masalah Pembangunan Infrastruktur: Masalah kekurangan basic infrastructure di kampung-kampung seperti Bokara, Lupak Meluas dan kampong-kampung lain di Sandakan sehingga ke hari ini masih belum dapat di selesaikan. Jalan daripada Beluran ke kawasannya (Sibuga) di Sandakan juga teruk.

6. Masalah Banjir: Banjir yang kerap melanda Kota Belud, Kota Marudu, Kinabatagan, Beuafort, Tenom dan beberapa daerah lain juga sampai sekarang masih gagal ditangani. Lebih teruk lagi pembangunan asas seperti prasarana jalanraya, bekalan air bersih dan sebagainya masih terserlah.

7. Masalah Geran Tanah: Masalah pemilikan tanah-tanah juga masih tidak dapat diselesaikan walaupun setelah 13 tahun beliau jadi ketua menteri Sabah.

MUSA MENGAKUI KEGAGALANNYA SENDIRI

Mungkin Musa tidak dapat merasa denyut nadi rakyat kerana beliau seringkali menggunakan helikopter atau kapal terbang apabila turun ke kawasan. Mungkin atas sebab itu juga, Musa tidak tahu, malahan langsung merasai kesengsaraan rakyat.

Kesimpulannya, apabila Musa bercakap bahawa Semporna tidak maju, secara tidak langsung Musa sebenarnya mengakui kegagalannya dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Ketua Menteri Sabah.

Bukan sahaja gagal untuk membangunkan daerah Semporna, malahan gagal untuk membangunkan Sabah secara keseluruhannya.

Kenyataan Musa ini sebenarnya umpama perbuatan “meludah ke langit, akhirnya ludah jatuh ke muka sendiri”.

  • Francis Au adalah ketua penerangan Wira Warisan Sabah, merangkap, ketua Wira Warisan Kota Marudu