Musa Aman Masih Tidak Hadir Sidang DUN

2581
Tempat duduk Musa Aman kosong sejak sesi pertama sidang DUN tahun lalu kerana beliau tidak pernah hadir.

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman sekali lagi tidak hadir dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang bermula hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang turut tidak hadir dalam istiadat pembukaan mesyuarat pada Khamis lalu itu merupakan satu-satu wakil rakyat Barisan Nasional (BN) daripada UMNO yang tinggal selepas kesemua rakan seperjuangannya berpaling kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Musa Aman

Sebelum ini, beliau turut gagal hadir ke dua sesi sidang DUN yang diadakan tahun lalu dan turut menjadi ADUN terakhir yang mengangkat sumpah pada 5 September.

Tahun lalu, beliau memberikan alasan gagal menghadiri mesyuarat dan lewat mengangkat sumpah atas alasan masalah kesihatan.

Menurut Artikel 18(2) Perlembagaan Sabah, DUN boleh mengisytiharkan mana-mana kerusi kosong sekiranya wakil rakyat yang dipilih gagal hadir untuk tiga sesi berturut-turut tanpa alasan kukuh.

Berdasarkan artikel itu, Musa dijangka hadir selewat-lewatnya Khamis depan, iaitu pada hari terakhir sesi mesyuarat bagi memastikan kelayakan beliau tidak dilucutkan.

Sementara itu, Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Syed Abas Syed Ali ketika memulakan sesi pagi ini memaklumkan pihaknya ada menerima surat daripada ADUN Sulaman, Datuk Hajiji Noor yang gagal hadir hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan apa-apa berkaitan ketiadaan Musa.

Usaha media untuk mendapatkan pengesahan daripada Syed Abas selepas itu gagal apabila pegawai protokol DUN memaklumkan beliau enggan ditemubual.