Musa Aman Fail Permohonan Gugur Kes Rasuah Lebih RM300 Juta

Oleh AZIS KHAN
KOTA KINABALU: Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini untuk menggugurkan 46 pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan konsesi balak yang dihadapinya.

Musa berdepan dengan 30 dakwaan rasuah yang dilakukan di Hong Kong serta beberapa negara melibatkan nilai melebihi RM200 juta.

Selain itu, beliau turut berdepan 16 dakwaan pengubahan wang haram melibatkan nilai keseluruhan lebih RM160 juta.

Permohonan itu dibuat peguam Musa, Francis Ng kepada hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Muhammad Jamil Hussin ketika sebutan kes berkenaan hari ini.

Menurut Francis, permohonan itu dibuat kerana pendakwaan terhadap Musa tidak berasas.

Jamil kemudiannya menetapkan 22 dan 23 April depan untuk mendengar permohonan itu.

Ketua Pendakwa Raya kes tersebut, Umar Saifuddin Jaafar mengesahkan kepada media berkenaan permohonan itu, dan berkata ia dibuat mengikut Seksyen 173(g) Kanun Prosedur Jenayah.

Seksyen itu menyatakan mahkamah mempunyai kuasa untuk membebaskan tertuduh jika mendapati dakwaan terhadapnya tidak berasas.

Umar berkata, pasukan pembelaan Musa juga mencabar kes tertuduh mengikut Seksyen 82 Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUA).

Ia berkenaan soal mendakwa tertuduh bagi kesalahan di bawah akta itu jika kesalahan di buat di luar Malaysia.

Menurut Umar, peguam Musa berhujah bahawa kes terhadapnya tidak mengikut Perlembagaan kerana peguam negara hanya memiliki kuasa unntuk prosiding jenayah, bukan pegawai diplomatik Malaysia di Hong Kong.