Musa Aman Dinasihatkan Menyerah Diri; Dikehendaki Oleh Polis, SPRM

9341
Adakah ini Musa di Stesen Kereta Api St Pancras International?

KUALA LUMPUR: Operasi menjejaki bekas Ketua Menteri Sabah Musa Aman yang dipercayai melarikan diri ke luar negara akan terus dipergiatkan, kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin berkata pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan terus mempergiatkan usaha mengesan Musa, serta Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar Jamal Md Yunos.
.
“Kita percaya kedua-dua individu ini telah meninggalkan negara ini. Justeru itu kita akan bekerjasama dengan polis luar termasuk Interpol bagi mengesan kedua-kedua mereka ini,” katanya selepas menyertai Operasi Bersepadu JIM di Jalan Petaling di Kuala Lumpur, Jumaat.

Beliau juga menasihatkan Musa dan Jamal agar menyerah diri kerana pihak berkuasa akan mendapatkan dua individu terbabit tidak kira di mana mereka berada.

Dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu pada Jumaat, peguam Musa, Zahir Shah, berkata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah itu sentiasa menggunakan saluran imigresen yang betul dan sah untuk setiap perjalanannya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ketua Pengarah Imigresen, Mustafar Ali, yang mendakwa bekas Ketua Menteri Sabah itu boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Pasport 1966 dan Akta Imigresen 1959/1963 jika keluar dari negara ini melalui cara tidak sah.

Zahir berkata, Musa kini mendapatkan rawatan perubatan seperti saranan pakar selepas sekian lama tertangguh.

Bagaimanapun, beliau tidak menyatakan lokasi Musa mendapatkan rawatan, termasuk kemungkinan di luar negara.

“Musa akan kembali sebaik rawatan perubatannya selesai dan doktor berpuas hati dengan keadaan kesihatannya.

Mustafar dalam satu sidang media dilaporkan berkata, rekod Jabatan Imigresen menunjukkan Musa tidak keluar negara walaupun beliau dilaporkan dilihat di London.

Kelmarin, seorang pengguna Facebook mendakwa melihat kelibat lelaki mirip Musa di Stesen Kereta Api St Pancras International, London.

Musa dikehendaki bagi membantu siasatan berhubung laporan polis dibuat Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin berkaitan ugutan jenayah.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut hadir ke kediaman Musa di Kota Kinabalu, namun tidak dapat memasukinya kerana beliau tiada di rumah.

Tindakan itu dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan BN bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.