Musa Aman Beri Alasan Sakit … Untuk Tidak Hadir Angkat Sumpah

3756
Musa Aman mengatakan dia perlu rawatan kesihatan dan tidak dapat menghadiri siang DUN Isnin ini.

Oleh BORNEOTODAY
KOTA KINABALU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada minggu hadapan sekali lagi menyaksikan kegagalan bekas Ketua Menteri Musa Aman untuk hadir mengangkat sumpah sebagai Adun.

Alasan sedang mendapatkan rawatan perubatan digunakan sekali lagi sebagai penyebab ketidakhadiran beliau dalam Persidangan Dun yang akan berlangsung selama dua hari pada minggu hadapan.

Dalam kenyataan terbaharu yang dikeluarkan pegawainya, mereka telah mengemukakan surat kepada Speaker Dun bertarikh 30 Julai untuk memaklumkan ketidakhadiran Adun Sungai Sibuga itu.

Kenyataan penuh adalah seperti berikut:-

1. Musa memaklumkan kepada Speaker bahawa dia sedang menjalani rawatan perubatan dan pemeriksaan yang dilakukan mendapati keadaan kesihatannya tidak mengizinkan beliau untuk mengembara.

2. Musa sedang menunggu beberapa keputusan pemeriksaan perubatan, diagnosis serta prognosisnya pada masa akan datang. Ini bagi membolehkan beliau mengetahui keperluan perubatan dan masa paling selamat untuknya menaiki penerbangan jarak jauh kembali ke Sabah.

3. Secara spesifik, doktor yang merawat Musa harus mengenalpasti cara terbaik dalam merancang rawatan tambahan yang diperlukannya apabila beliau kembali ke Sabah.

4. Dokumen yang menyokong keseriusan tahap kesihatan Musa telah dikemukakan kepada Speaker Dun untuk diberi pertimbangan.

5. Ketika ini, atas nasihat doktor perubatannya Musa disahkan tidak bertenaga untuk mengembara dalam tempoh yang lama dan sebarang tindakan sebegitu memberi kesan buruk kepada keadaan kesihatannya. Berdasarkan situasi ini Musa melahirkan kekesalannya kerana beliau mungkin tidak dapat kembali ke Sabah untuk mengangkat sumpah sempena persidangan Dun kali ini.

6. Bagaimanapun Musa telah memohon kepada Speaker bagi memanjangkan tempohnya mengangkat sumpah berikutan sebab-sebab perubatan. Dengan budi bicara Speaker, beliau juga memohon diberikan masa untuk berehat.

7. Speaker telah dimaklumkan sepenuhnya mengenai keseriusan tahap kesihatan Musa. Malah, Musa juga sentiasa memberikan maklumat terkini kepada Speaker dan telah ditawarkan untuk memberi rekod perubatan penuh kepada Speaker seperti yang diperlukan.

Musa mengambil peluang ini untuk mengucapkan jutaan terima kasih atas ucapan semua pihak yang mendoakan supaya beliau cepat sembuh. Musa juga memberi jaminan kepada semua bahawa beliau akan kembali ke Sabah secepat mungkin. Malah, beliau akan bersedia untuk mendapatkan haknya sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah dari segi undang-undang.

Penasihat undang-undang utama kepada Musa Aman
9 Ogos 2018