Musa Aman, Anifah – Apa Sumbangan Mereka Kepada Sabah?

PAPAR: Shafie Apdal membuat serangan berganda terhadap adik-beradik, Musa dan Anifah Aman, dengan menyelar sikap mereka yang hanya mementingkan diri sendiri sehingga mengabaikan nasib rakyat jelata Sabah.

Presiden Parti Warisan Sabah itu juga membidas parti komponen Barisan Nasional berasaskan KDM – PBS, UPKO dan PBRS serta ketua masing-masing – kerana gagal melaksanakan tanggungjawab demi rakyat Sabah walaupun ada di antara mereka yang sudah lama memegang jawatan sebagai Menteri Persekutuan.

SHAFIE APDAL

Beliau berkata demikian ketika berucap di Kampung Langkawit untuk menerima kemasukkan Tailin Mainan, seorang ahli majlis tertinggi UPKO dan Ketua Bahagian UPKO Kimanis, serta lebih 1,000 ahli parti UPKO ke Parti Warisan Sabah pada petang Selasa 23 Mei.

Shafie berkata Sabah jelas jauh ketinggalan dari negeri-negeri lain dalam aspek pembangunan.

“Musa adalah Ketua Menteri Sabah tetapi dia pula menyalahkan saya untuk kesemua kelemahannya,” ujar Shafie yang mendapat tepukan gemuruh dari para hadirin di kediaman Tailin.

“Bukankah menjadi tanggungjawabnya untuk menerajui semua aspek pembangunan di Sabah? Bukankah beliau mempunyai kewangan, kuasa dan pengaruh, tetapi apa yang beliau boleh buktikan selama ini? Kenapa rakyat Sabah mendesak untuk perubahan jika mereka puas hati dengan Musa?”

Dalam lawatannya ke Kuala Abai pada Ahad lalu, Shafie terkejut melihat sekolah rendah di Kota Belud yang diperbuat dari kayu papan dan kelihatan using manakala di negeri seperti Melaka dan Perlis, semua sekolah diperbuat dari konkrit.

Beliau melihat murid-murid dan binatang ternakan menggunakan pintu masuk yang sama, malah kawasan sekililing sekolah dibanjiri air.

“Kerajaan Persekutuan mengambil 95 peratus dari hasil sumber minyak dan gas kita sehingga kita tidak mampu membina mahupun memperbaiki sekolah kita. Maka itulah kenapa kerajaan Warisan akan menubuhkan satu Kementerian Pendidikan, untuk menambah peruntukkan dari persekutuan,” katanya.

Shafie disambut oleh ahli-ahli dan pemimpin Warisan serta bekas ahli UPKO dirumah Tailin Mainan yang keluar dari komponen BN itu untuk menyertai Parti Warisan.

Shafie ditertawakan oleh Musa dan ketua-ketua Umno-Barisan Nasional apabila beliau mencadangkan Kementerian Pendidikan untuk Sabah tetapi tiada di antara mereka yang bersuara bila Sarawak menyatakan tujuan untuk membuat portfolio yang sama di peringkat negeri.

Menurut Shafie, rakyat Sabah tahu apa yang terbaik untuk mereka dari segi pendidikan dan hanya dengan adanya masyarakat berpengetahuan Sabah dapat lepas dari cengkaman kemiskinan.

Ahli parlimen Semporna itu turut menyoal kenapa Anifah tidak bertungkus-lumus untuk memastikan kerajaan menyediakan lebih banyak kegiatan “downstream” atau aktiviti hiliran di Kimanis.

Sebaliknya sumber minyak dan gas milik Sabah dibiarkan melepasi negeri ini dan diproses di luar Sabah, menyebabkan belia-belia tempatan terpaksa berhijrah ke luar negeri untuk mencari pekerjaan.

“Saya ingin bertanya kepada Anifah, apa yang beliau telah lakukan sebagai Menteri Luar selama ini? Sepatutnya beliau boleh menggunakan pengaruhnya untuk menyelesaikan tuntuan Filipin terhadap Sabah yang masih lagi berlarutan,” katanya.

Najib Razak dilihat di gambar ini bersama dengan mendiang Esmail Kiram di Kuala Lumpur. Esmail adalah abang kepada Abgimuddin Kiram yang mengetuai pencerobohan Tanduo di Lahad Datu pada tahun 2013.

“Akan tetapi pemimpin BN pantas menuding jari kepada saya dengan mengatakan sekiranya Warisan menang, saya akan membawa masuk ramai pendatang tanpa izin. Mereka juga cuba mengaitkan saya dengan keluarga Kiram yang mendakwa mereka adalah pewaris Sabah.

“Bukankah ini satu perkara yang patut diselesaikan oleh Kementerian Luar? Bukankah ini tanggungjawab Kerajaan Persekutuan? Sebaliknya mereka memanipulasikan gambar lama untuk menunjukkan saya bersama keluarga Kiram.

“Sudahkah mereka lupa bahawa (Esmail) Kiram dijemput oleh Perdana Menteri ketika itu, Abdullah Ahmad Badawi untuk menghadiri satu acara makan malam. Ya, saya turut hadir tetapi begitu juga dengan Najib Razak, Allahyarham Aziz Shamsuddin dan beberapa menteri lain.

“Jadi kenapa kaitkan saya sahaja? Kenapa menakut-nakutkan rakyat Sabah apabila menjelang pilihan raya dengan mengatakan ada orang bersenjata kelihatan di pantai timur.

Shafie berkata amat tidak logik bagi beliau untuk bersekongkol dengan pihak penceroboh yang telah membunuh dan merompak penduduk Semporna. Beliau yakin ia hanya taktik BN untuk menaikkan kemarahan orang ramai terhadap Shafie.

Katanya prestasi pemimpin KDM di peringkat persekutuan seperti Joseph Kurup (PBRS), Maximus Ongkili (PBS) dan Madius Tangau (UPKO) juga sangat mengecewakan dan masyarakat KadazanDusunMurut masih lagi merayu jawapan dari Kerajaan Persekutuan yang enggan memberi perhatian kepada kumpulan-kumpulan etnik.

Shafie menegaskan beliau akan menjadi Ketua Menteri untuk kesemua bangsa dan kumpulan etnik di Sabah kerana Warisan adalah parti pelbagai kaum yang betul-betul mewakili kesemua rakyat di negeri ini.