Murid SK Pekan Telupid Dijangka Pindah Ke Bangunan Siap Minggu Depan

519
Bumbung bangunan SK Pekan Telupid yang hampir siap.

SANDAKAN: Murid-murid Sekolah Kebangsaan Pekan Telupid, kira-kira 120 km dari sini, yang terpaksa belajar di bawah khemah sejak Jun lepas, dijangka berpindah ke bangunan sekolah yang siap dibaiki minggu depan.

Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Telupid Mahanin Osman berkata tiga bangunan sekolah yang terjejas itu telah siap dibaiki sebelum cuti persekolahan akhir tahun lepas lagi, namun memerlukan sedikit sentuhan akhir seperti pendawaian elektrik.

“Ada tiga bangunan yang dibaiki. Insya-Allah, murid-murid yang terjejas, kira-kira separuh daripada lebih 800 murid yang didaftarkan di sekolah itu, dapat belajar dalam keadaan yang selesa semula.

“Pihak kami (PPD) kesal dengan kelewatan pada urusan menyiapkan sekolah itu serta ketidakselesaan murid dan guru, apatah lagi terpaksa memulakan sesi persekolahan baharu (semalam) di bawah khemah,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini semalam.

Bumbung sekolah yang rosak akibat dipukul ribut pada Jun tahun lalu. Foto Ihsan SK Pekan Telupid.

Menurut Mahanin, bangunan sekolah berkenaan mula dibaiki menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia sejak September lepas.

Katanya, sekolah itu mengalami kerosakan teruk apabila bumbung tiga bangunan diterbangkan angin kencang kira-kira jam 3.30 petang pada 18 Jun lepas.

Menurut guru besar sekolah itu Dominic Nara, hanya satu bangunan dengan empat bilik darjah digunakan untuk murid tahun enam pada sesi pagi dan murid tahun satu pada sesi petang.

Selebihnya terpaksa belajar di bawah enam khemah yang memuatkan empat kelas pada satu sesi pembelajaran, katanya.

BERITA BERKAITAN: –

800 Murid Belajar Bawah Khemah Kerana Bangunan Rosak Belum Siap