Murid Sekolah ‘Berhimpit’, Bergadai Nyawa Ke Sekolah

PITAS: Gambar tular sekumpulan murid sekolah menaiki bot yang sesak menimbulkan perasaan simpati dan kemarahan dalam kalangan pengguna media sosial.

Pelajar dari Kampung Pituru Timbang Taun, Pitas ini difahamkan sudah berada dalam keadaan yang sesak tanpa pemakaian jaket keselamatan itu sejak sekian lama.

Malah, semasa gambar itu tular pada tahun lalu sehingga kini, tiada tindakan yang diambil untuk menambah baik keadaan berkenaan.

Seorang pengguna, A Korn Korn menerusi akaun Facebooknya menyatakan ‘kepada pihak berwajib, kami tiada pilihan lain terpaksa kasi viral kes ini kerana sudah setahun lebih tiada tindakan. Tolonglah mana-mana pihak kerajaan dan NGO bantu beri bot lebih besar dan jaket keselamatan. Jangan sampai nasi sudah menjadi bubur’.

Sementara itu, seorang pengguna lagi menulis di ruangan komen paparan gambar tular itu dengan menyatakan ‘Tahun 2022 sudah ini. Adoii Sabah Maju Bersama Malaysia. Sabah Maju Jaya’.

Seorang pengguna lain menyatakan ‘yang dihantar ini semua anak ahli keluarga. Anak-anak buah serta cucu. Semoga dengan viralnya post ini akan mendapat pembaahruan dan dipermudahkan segala urusan.

Ada pengguna lain turut mempersoalkan keberadaan wakil rakyat ‘Mana sudah YB Bengkoka tidur ka bila sudah menang?. Time PRU kemain lagi merayu undi dengan rakyat N2 Bengkoka. Bila sudah menang batang hidung pun tidak nampak. Takkan mau tabur emas dulu situ sungai baru mau bertindak’.

Gambar tular itu dikongsikan dalam pelbagai pihak termasuk Pitas Media.