Mungkin Unsur Sabotaj Sebabkan Bekalan Air Sekitar Luyang Terjejas

911
Salah satu paip pecah di kawasan Luyang akibat kerosakan pada injap angin.

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) berada dalam kebingungan apabila lima kes yang membawa kepada gangguan bekalan air berlaku sekitar pusat bandaraya ini pada hujung minggu lalu.

Pengarah JANS Amarjit Singh berkata, selang sehari selepas pengumuman penamatan kontrak enam syarikat konsesi yang menguruskan 58 loji rawatan air di Sabah dilakukan pada Jumaat, secara tiba-tiba berlaku peningkatan dalam pengeluaran air daripada loji-loji rawatan air.

“Secara tiba-tiba juga banyak kes membabitkan paip pecah dilaporkan. Saya tidak mahu mengatakan ada unsur sabotaj yang berlaku namun, JANS mendapati terdapat dua kes membabitkan paip pecah berlaku di Jalan Sulaman pada Sabtu (22 Disember).

“Bagaimanapun, salah satu paip yang pecah itu disebabkan berkerja-kerja pembinaan yang sedang dilakukan di Jalan Sulaman.

“Kemudian pada Ahad, jurutera daerah Kota Kinabalu menerima laporan seluruh kawasan Luyang Perdana tiada bekalan air selama 12 jam bermula 4 petang Sabtu. Apabila JANS melakukan pemeriksaan, injap optik yang berada berdekatan longkang di kawasan itu didapati telah ditutup.

Amarjit Singh, kiri, ketika sidang media berkenaan.

“Adakah ini perbuatan khianat atau disengajakan? Saya tidak boleh mengatakan begitu,” katanya semasa Sidang Media mengenai gangguan bekalan air, di sini pada Isnin.

Bagaimanapun, kakitangan Jabatan Arkib Negara mendakwa melihat ada sebuah kereta pacuan empat roda parkir berhampiran kawasan injap optik itu ditempatkan. Kemudian, terdapat orang berlegar-legar dengan spana di kawasan itu sekitar 3-4 petang Sabtu.

Berikutan insiden yang belaku di Luyang Perdana itu, JANS telah membuat laporan polis pada 11 pagi Ahad untuk meminta siasatan dan pemantauan dilakukan dikawasan berkenaan.

Insiden itu juga boleh disiasat dibawah Seksyen 49 Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.

Pada Ahad juga, dua injap angin di kawasan Luyang iaitu di Lorong Unta dan Lorong Angsa (Luyang) dipercayai sengaja dirosakkan.

Dalam masa yang sama, pasukan ‘flying squad’ JANS akan turut melakukan pemantauan di kawasan paip utama sekitar bandaraya ini.

Salinan laporan polis yang dilakukan JANS berikutan insiden yang berlaku berhampiran Luyang Perdana.

Amarjit berkata, beliau bimbang insiden yang berlaku dalam tempoh dua hari itu ketika musim perayaan semakin hampir itu akan menyebabkan rakyat menyalahkan JANS tidak kompeten.

Oleh itu, beliau menyarankan orang ramai supaya meletakkan kepercayaan kepada JANS kerana penstrukturan yang dilakukan dalam jabatan itu akan membolehkan mereka memberi perkhidmatan yang terbaik.

Ini terbukti dengan usaha JANS dalam menyediakan talian aduan 24jam bagi memastikan aduan berkaitan masalah bekalan air dapat diselesaikan dengan segera.

Orang ramai boleh menghubungi talian aduan 088 326 888 jika berlakunya gangguan bekalan air.

Pada Jumaat, Menteri Pembangunan Infrastruktur Datuk Peter Anthony mengumumkan bahawa kontrak enam syarikat konsesi yang menguruskan 58 loji rawatan air di Sabah akan ditamatkan berkuatkuasa pada 15 Januari 2019.

Langkah itu dilihat membolehkan kerajaan menjimatkan lebih RM1 bilion. Ia kerana kerajaan perlu membayar RM15 juta sebulan bagi tempoh 20 tahun berdasarkan perjanjian yang dimeterai kerajaan terdahulu.

“Enam syarikat terlibat ialah Arawira Sdn Bhd, Yuda Water Sdn Bhd, Akal Kukuh Sdn Bhd, Sahabat Megajuta Sdn Bhd, Harmony Water Sdn Bhd, dan syarikat BYT Vision Sdn Bhd,” katanya.

BERITA BERKAITAN: –

Kerajaan Sabah Tamatkan Kontrak Syarikat Urus Loji Air – Peter