Mula Esok, Sebelum Keluar Dari Sabah Perlu Jalani Ujian Swab

Oleh SURAIDAH ROSLAN
KOTA KINABALU: Bermula esok, individu atau pengembara dari Sabah yang ingin keluar ke negeri lain hanya perlu menjalani ujian swab pengesanan Covid-19 tiga hari sebelum berlepas dari Sabah.

Sekiranya individu itu didapati positif ujian Covid-19 atau bergejala, mereka tidak dibenarkan untuk meneruskan perjalanan keluar dari Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, bagi mereka yang positif, mereka akan dirujuk ke hospital untuk isolasi, rawatan dan pemantauan.

Manakala, bagi individu yang bergejala akan dirujuk untuk menjalani pemeriksaan.

“Untuk pengembara yang dibenarkan meneruskan perjalanan keluar dari Sabah, mereka masih perlu melalui saringan demam dan gejala.

“Pemeriksaan laporan ujian swab pengesanan Covid-19  dan diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera setibanya di Pintu Masuk Negara di Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambahnya, jika mereka tidak bergejala dan laporan ujian makmal Covid-19 disahkan negatif, pengembara ini tidak lagi perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sebaik tiba di destinasi dituju.