Muhyiddin Yassin Ziarah Azis Jamman, Turut Jumpa Pimpinan Bersatu

Azis Jamman, kiri, menunjukkan kemesraan antara beliau dengan Muhyiddin ketika menerima kunjungan di Hospital Gleanegles. – Gambar BorneoToday oleh RP

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KOTA KINABALU: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa kira-kita sejam pagi ini menziarahi timbalannya, Datuk Mohd. Azis Jamman di Hospital Gleanegles.

Muhyiddin bersama rombongannya melawat Mohd. Azis yang sedang bercuti sakit selepas menjalani pembedahan di pergelangan kaki kirinya yang cedera akibat kemalangan pada 24 April lalu.

Azis dalam ciapan Facebook selepas itu kemudiannya melahirkan rasa terharu dengan kunjungan berkenaan dan menyatakan semangatnya untuk kembali bertugas sebaik sahaja sembuh.

“Terima kasih Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin bersama rombongan atas kesudian melawat saya walaupun sibuk dengan urusan kerja, keprihatinan Tan Sri Muhyiddin sangat dihargai.

“Kata-kata semangat dan motivasi amat dihargai serta bermakna untuk saya cepat sembuh dan kembali bertugas di kementerian, insya-Allah,” katanya.

Muhyiddin berjumpa dengan Penyelaras Bersatu Sabah, Hajiji Noor untuk memaklumkan tentang kebenaran daripada ROS bagi penubuhan 26 bahagian di Sabah.

Sementara itu, sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sempat berjumpa dengan pimpinan Bersatu Sabah bagi menyerahkan surat kebenaran Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menubuhkan 26 bahagian di Sabah termasuk Labuan.

Muhyiddin berkata, jabatan itu menerusi surat kebenaran kepada parti tersebut memerlukan bahagian-bahagian parti di negeri ini ditubuhkan dalam tempoh masa yang diberikan ROS iaitu tiga bulan.

“Namun, saya percaya kesemua bahagian di Sabah telah bersedia dan saya yakin mereka dapat menyelesaikan semua perkara yang perlu dilakukan untuk menubuhkan bahagian masing-masing kurang daripada tempoh masa yang diberikan,” katanya ketika ditemui pemberita.

Pada 15 Mac lalu, lapan bekas pemimpin UMNO Sabah termasuk enam wakil rakyat menyertai Bersatu dan menerima kad keanggotaan mereka di Putrajaya.

Enam wakil rakyat Bebas berkenaan ialah Ahli Parlimen Kudat, Datuk Abd Rahim Bakri, Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Zakaria Edris (Libaran), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Hajiji yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman dan Datuk Masidi Manjun (ADUN Karanaan).

Selain mereka, turut menyertai Bersatu ialah dua Senator iaitu Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk John Ambrose.

Bersatu secara sahnya telah melebarkan sayap ke Sabah apabila Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu telah melancarkan Bersatu Sabah 6 April lepas.