Muhyiddin Menghadap Seri Paduka Berkaitan Pengisytiharan Darurat?

KUANTAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abdul Aziz, Kuantan dijangka bagi memaklumkan keputusan Kabinet yang mencadangkan kepada baginda untuk mengisytiharkan darurat.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Affendi Buang, adalah di antara yang dilihat berada dalam konvoi mengekori Perdana Menteri ketika memasuki istana.

Setakat ini, Pejabat Perdana Menteri dan Istana Negara, belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung pertemuan yang berlangsung itu, walaupun pelbagai spekulasi mula kedengaran sejak semalam.

Sebelum ini, Al-Sultan Abdullah menitahkan semua ahli politik supaya mengutamakan kepentingan rakyat yang sedang berdepan pelbagai kesulitan akibat penularan pandemik COVID-19.

Titah baginda, ahli politik perlu bermuhasabah agar negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu ketika semua masih berdepan pelbagai masalah dan masa depan yang sukar akibat COVID-19.

Dalam titah itu, baginda turut mengingat, ahli politik supaya tidak mengakhiri perbezaan dengan permusuhan, sebaliknya mengutamakan perundingan dan proses perundangan yang termaktub dalam Perlembagaan.