Muhyiddin Kembali Ke Pejabat Setelah Selesai 14 Hari Kuarantin Kendiri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini kembali bertugas di pejabat setelah selesai menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari di rumah yang berakhir Jumaat lepas.

Muhyiddin hari ini memulakan tugas dengan mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang diadakan secara sidang video khusus untuk membincangkan mengenai kesan pandemik COVID-19 terhadap ekonomi negeri Johor.

Mesyuarat itu disertai oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad serta pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian Perancangan Ekonomi Negeri Johor (BPENJ). 

“Antara yang dibincangkan, cadangan penubuhan pasukan petugas khas bagi mengumpul data dan statistik rakyat Johor yang bekerja di Singapura. 

“Mesyuarat juga menyentuh mengenai keperluan membuka semula sempadan Johor dan Singapura, antara lain bagi melonjakkan semula aktiviti ekonomi yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya menerusi hantaran dalam laman Facebook rasmi beliau.

Selain itu, turut dibincangkan adalah permohonan pembiayaan oleh kerajaan negeri Johor bagi menghidupkan semula industri pelancongan susulan penularan wabak COVID-19 yang memberi kesan besar kepada sektor itu. 

Muhyiddin seterusnya mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincangkan situasi terkini jangkitan COVID-19 di dalam negara termasuk di Sabah dan Lembah Klang, di samping pengukuhan tindakan mengawal penularan jangkitan dan keupayaan semasa kesihatan awam negara.

“Kesemua perkara akan diteliti semula dalam Mesyuarat Khas Teknikal Menteri berhubung Perintah Kawalan Pergerakan sebelum diputuskan,” katanya.

Keputusan ujian saringan COVID-19 bagi sampel kedua terhadap Muhyiddin pada Rabu lepas disahkan negatif, sekali gus mengesahkan beliau bebas COVID-19.