Muhyiddin Kekal Perdana Menteri, Undi Percaya Di Parlimen September

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri setelah mendapat sejumlah surat akuan daripada ahli-ahli Parlimen yang masih mempunyai kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat pada masa ini.

Dalam perutusan khas hari ini, Muhyiddin mengesahkan kedudukan beliau selaku Perdana Menteri biarpun lapan orang ahli Parlimen UMNO menarik sokongan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya telah menyembah maklum kepada Yang di-Pertuan Agong bahawa saya akan menentukan keabsahan saya sebagai Perdana Menteri di Parlimen.

“Satu usul undi percaya kepada saya akan dibentangkan di Dewan Rakyat ketika Dewan Rakyat bersidang pada bulan September,” katanya.

Menurutnya, melalui cara itu kedudukan Perdana Menteri dan PN sebagai kerajaan yang memerintah akan dapat ditentukan mengikut lunas undang-undang dan Perlembagaan.

Berikutan itu, Jemaah Menteri dan jentera pentadbiran kerajaan akan terus berfungsi untuk melaksanakan amanah dan tanggungjawab kepada rakyat dan negara, khususnya dalam menangani pandemik Covid-19.