Muhyiddin Disoal Kenapa Batal Jemputan Hari Guru

Oleh RODELIO JUNJUN TAUCAN
KUALA LUMPUR: Isu pembatalan jemputan pada saat akhir terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal untuk merasmikan sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Sabah 2020 baru-baru ini dibangkitkan di dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Papar, Ahmad Hassan dalam perbahasan berkata, pembatalan itu yang dibuat oleh Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) seolah-olah satu penghinaan kepada rakyat Sabah dan perbuatan mempolitikkan sektor pendidikan Sabah.

Sehubungan itu, beliau menyoal jika benar Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pemimpin untuk semua rakyat Malaysia, sedangkan tindakan dilakukan sebaliknya hanya kerana JPN merupakan agensi Persekutuan.

“Jadi apa salahnya Ketua Menteri merasmikan majlis tersebut, kalau memang sudah tidak mahu Ketua Menteri merasmikan majlis tersebut janganlah beliau dijemput supaya rakyat Sabah tidak rasa terhina kerana pemimpin mereka dibuat begini.

“Ini sudah bertentangan dengan kenyataan Perdana Menteri bahawa beliau adalah Perdana Menteri untuk semua rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah termasuklah nelayan-neyalan, peniaga-peniaga, penjawat awam, pekerja swasta kalau ia betul, perkara seperti saya nyatakan tadi tidak akan terjadi jadi saya berharap sangat agar perkara seperti ini tidak akan berulang lagi.

“Walaupun Sabah sebagai negeri pembangkang akan tetapi akan sentiasa memberi kerjasama sepenuhnya kepada Kerajaan Persekutuan dalam konteks government to government, insya Allah akan lakukan yang terbaik,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika perbahasan Usul Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Ahmad, Kerajaan Sabah telah melakukan banyak perkara untuk membantu pembangunan sektor pendidikan negeri termasuk peruntukan-peruntukan kepada sekolah, justeru layanan seperti itu terhadap Ketua Menteri tidak sepatutnya berlaku.

Tegasnya, jika Perdana Menteri mahu melonjakkan sektor pendidikan negeri seperti yang disebut beliau sebelum ini, pendidikan tidak sepatutnya dipolitikkan kerana akan memberi kesan kepada tenaga pengajar dan para murid.

“Perdana Menteri kita sekarang ini berjanji dan berusaha untuk melonjakkan kualiti pendidikan negara dengan pengalaman beliau selama enam tahun sebagai menteri pendidikan saya yakin dan percaya pengurusan melibatkan pendidikan terutamanya di negeri Sabah akan diutamakan.

“Baru-baru ini kami rakyat Sabah dikejutkan apabila jemputan kepada Ketua Menteri Sabah untuk merasmikan sambutan hari guru peringkat negeri Sabah 2020 dibatalkan oleh Jabatan Pendidikan di saat-saat akhir, kita faham dan tahu bahawa Jabatan Pendidikan merupakan jawatan di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Apakah sebenarnya motif ini apakah ini satu kaedah baharu dalam mempolitikkan isu pendidikan di negeri sabah? ini seolah-olah menghina orang Sabah, tindakan seperti ini telah melampaui batas permainan politik yang menjadi mangsa ialah tenaga pengajar dan kemungkinan juga para pelajar,” katanya.